Putrajaya: Bayangkan perasaan seorang yang mempunyai fizikal sempurna kemudian berubah sekelip mata apabila kehilangan kaki kiri hingga paras betis akibat kemalangan jalan raya.

Itu yang dilalui seorang operator pusat panggilan, Muhamed Nazmi Muhamed Hanafi, 24, selepas terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal di Kajang, lima tahun lalu.

Sedikit sebanyak, kejadian itu turut memberi kesan kepada emosinya malah, Muhamed Nazmi mengakui, dia pernah berputus asa dan berasa rendah diri selepas kehilangan kaki yang menyebabkan pergerakannya terbatas.

Anak kedua daripada tujuh beradik itu berkata, sebelum kejadian itu, dia terbabit secara aktif dalam aktiviti mendaki gunung memandangkan minatnya dalam program lasak itu sejak berusia 12 tahun.

“Bukan mudah untuk saya mencari kekuatan meneruskan kehidupan selepas terbabit dalam kemalangan ini. Saya melihat kembali kenangan lama ketika melakukan pendakian bersama rakan.

“Perasaan gembira serta seronok sebaik tiba di puncak gunung dan saya cuba melihat kegembiraan orang lain yang turut mempunyai perasaan sama tatkala berjaya menempuh cabaran untuk berada di tempat dituju.

“Dari situ, saya mendapatkan kekuatan untuk bangkit dan syukur alhamdulillah, saya berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan diri yang sekarang,” katanya.

Selepas kembali melakukan minatnya terhadap aktiviti pendakian gunung, Muhamed Nazmi kini tidak lagi melihat kecacatan kaki kirinya sebagai penghalang melakukan aktiviti itu.

“Saya menggunakan kaki palsu untuk memudahkan bergerak namun tidak seperti dulu kerana pergerakan terbatas memandangkan tidak boleh berlari seperti orang lain.

“Malah, paling menggembirakan apabila saya juga terpilih mengikuti misi pendakian ke Kem Induk Annapurna, Nepal bersama pendaki lain bermula 20 Oktober hingga 2 November anjuran Pertubuhan Nadi Sihat,” katanya.

Muhamed Nazmi berkata, sehingga kini kira-kira 20 puncak gunung berjaya ditawannya.

Menurutnya, itu termasuk puncak di dalam negara seperti Gunung Kinabalu manakala di Indonesia ialah Gunung Rinjani.

HARIAN METRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini