KUALA LUMPUR: Ingin mengikut jejak langkah beberapa pelakon senegara yang mencipta nama di Malaysia, bakat baharu kelahiran Kota Singa, Daaim Jailani, nekad mencuba nasib dalam bidang seni di sini.

Biarpun tiada pengalaman lakonan di tempat kelahirannya, Daaim, 24, optimis peluangnya untuk mencari rezeki dalam bidang terbabit tetap cerah.

Bekas jurulatih kecergasan dan model ini yakin, beliau mampu melakar kejayaan sama diraih oleh Aaron Aziz, Shah Iskandar dan Hisyam Hamid andai disertakan usaha serta kesungguhan.

Mula mengasah bakatnya menerusi filem Pinjamkan Hatiku, tahun lalu, Daaim atau nama sebenarnya Muhammad Solatuddaaim Jailani baru-baru ini turut membintangi sebuah lagi karya arahan Osman Ali, Langsuir. Filem terbabit menjalani penggambaran di Langkawi, Kedah.

“Julung kali dihulurkan peluang berlakon, proses itu berlaku dengan begitu pantas. Saya diundang ke Malaysia untuk menjalani uji bakat dan seminggu selepas itu, penggambaran Pinjamkan Hatiku bermula.

“Di Singapura, saya memang tidak pernah berlakon. Sebaliknya, tumpuan saya kepada kerjaya sebagai jurulatih kecergasan dan peragaan. Bersama-sama peluang yang datang ini, saya lihat pintu rezeki di Malaysia lebih terbuka luas.

“Dengan peluang yang agak terhad di Singapura, saya berazam untuk mengikut jejak langkah pelakon dari sana yang lebih berpengalaman. Seperti mereka, saya juga enggan melepaskan setiap peluang diberikan,” katanya yang turut menjadikan pelakon berkenaan sebagai idolanya.

Daaim berkata, Aaron dan beberapa pelakon lelaki Kota Singa yang mampu menambat hati peminat di negara ini dijadikannya sebagai penanda aras dalam mengejar kejayaan.

PELAKON baharu dari Kota Singa, Daaim Jailani.

“Jika mereka boleh melakukannya, insya Allah, saya juga mampu berbuat demikian. Saya seorang yang berani mencabar diri, walaupun diakui debaran tidak dapat dielakkan ketika mula-mula beraksi di depan kamera.

“Saya yakin akan dapat berkongsi bakat yang ada pada diri ini dengan cara tersendiri,” kata anak muda berdarah kacukan Melayu-Cina ini.

Menyambung cerita, pemuda ini berkata, selepas menjalani penggambaran filem sulung, beliau juga sempat berlakon dalam telefilem Gadis Kampung Paling Popular.

“Selepas itu, saya kembali ke Singapura kerana masih bekerja sebagai jurulatih kecergasan. Kemudian, saya turut bercuti selama beberapa bulan untuk menghabiskan masa bersama-sama keluarga dan kenalan, selain mengembara.

“Hanya pada tahun ini, saya kembali semula berlakon menerusi drama Pinggan Tak Retak Nasi Tak Dingin untuk siaran TV3 dan filem Langsuir. Diharapkan, momentum itu akan berterusan kerana dunia lakonan kini menjadi kerjaya utama saya,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini