KUALA LUMPUR: CIMB Bank memberi jaminan maklumat transaksi seperti nombor pengenalan peribadi (PIN), nilai pengesahan kad (CVV) kad kredit dan kata laluan akaun tiada dalam pita magnetik yang hilang hari ini.

Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata berikutan insiden itu, pihaknya mempertingkatkan langkah keselamatan di semua saluran.

Antaranya, menghentikan sementara beberapa perkhidmatan melalui telefon seperti penukaran alamat, nombor telefon, emel bagi kad debit atau kredit, pemindahan wang serta urusan pembayaran tanpa T-PIN dan permintaan T-PIN baharu.

Katanya, CIMB memilih untuk mengambil langkah konservatif dalam menitikberatkan keselamatan dan perlindungan data dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan melipatgandakan usaha untuk melindungi kepentingan pelanggannya.

“Oleh kerana pita berkenaan hanya mengandungi data sandaran, maklumat pelanggan masih lagi bersama CIMB. Buat masa ini, pelanggan tidak perlu melakukan apa-apa.

“Bagaimanapun, kami menyarankan pelanggan supaya sentiasa berwaspada dan jika berasa curiga, sila rujuk saluran maklumat rasmi CIMB sama ada melalui laman web utama, pusat panggilan perkhidmatan mahupun di mana-mana cawangan kami di seluruh negara.

“Kami mengambil berat tanggungjawab terhadap pelanggan dan yakin langkah tambahan ini akan terus melindungi keselamatan transaksi pelanggan.

“Walaupun ini insiden terpencil, kami mengkaji semula dan meningkatkan lagi tahap keselamatan dan memperbaiki proses untuk memastikan ia tidak berulang pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Zafrul berkata, pihaknya turut memohon maaf jika peningkatan tahap dan langkah keselamatan yang dilaksanakan pada masa ini menyulitkan pelanggan.

“Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menangani sebarang risiko susulan daripada insiden ini,” katanya.

Beberapa pita magnetik yang mengandungi maklumat sandaran pelanggan CIMB hilang di dalam perjalanan ketika satu operasi rutin dan sesetengah pita berkenaan mengandungi maklumat tertentu pelanggan CIMB Bank dan anak syarikatnya.

Bagaimanapun, siasatan menyeluruh mendapati tiada bukti yang maklumat itu telah dikompromi sama sekali.

Pelanggan yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi mana-mana nombor berikut: +60 3 6204 7788 (Perbankan Pelanggan); +60 3 6204 7799 (Kad Premier); 1300 88 5300 (Preferred); 1300 88 8828 (Pusat Panggilan Perniagaan- Perbankan Komersil/Enterpris); 1300 88 8068 (Pusat Panggilan Perniagaan – Korporat).

Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui mana-mana cawangan CIMB atau di halaman web kami www.cimbbank.com.my or www.cimb-bizchannel.com.my.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia dalam satu kenyataan petang ini, berkata pihaknya menyedari insiden kehilangan pita sandaran itu.

Katanya, CIMB Bank memberi jaminan kepada BNM bahawa langkah berjaga-jaga dan tindakan mitigasi sudah diambil bagi menguruskan sebarang kesan negatif yang timbul akibat daripada kehilangan pita terbabit.

“Orang ramai dinasihat supaya terus berjaga-jaga dalam melindungi maklumat peribadi mereka,” katanya.

BERITA HARIAN

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini