POLIS tidak menolak kemungkinan salah faham berikutan masalah komunikasi menjadi punca insiden anggota polis diserang sekumpulan individu warga China di Jalan Abraham Off Jalan Imbi, Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya masih mengenal pasti punca sebenar empat anggota polis yang bertugas diserang individu terbabit ketika sedang menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, anggota polis berkenaan dimaklumkan mengenai kegiatan beberapa individu yang bermain judi di dalam rumah di lokasi terbabit sebelum mereka melakukan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, berlaku perselisihan faham yang mungkin disebabkan masalah komunikasi berikutan kekangan bahasa berlainan menyebabkan beberapa individu menyerang anggota polis bertugas hingga mereka terpaksa melepaskan tembakan di udara sebagai tanda amaran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mazlan menyifatkan tindakan sekumpulan warga China itu menyerang anggota polis yang sedang bertugas adalah tidak wajar seolah-olah tidak menghormati tugas mereka dalam menangani kes jenayah.

“Kami memandang serius mengenai perkara ini kerana ia dilihat menggangu tugas polis dalam membanteras kegiatan jenayah di ibu kota ini. Justeru, kami akan mengadakan operasi membanteras kegiatan jenayah termasuk judi membabitkan jumlah anggota yang ramai.

“Ia bertujuan bagi mengelakkan insiden sama berulang. Ada kemungkinan mereka berani menyerang anggota polis berkenaan kerana jumlah yang sedikit berbanding mereka lebih ramai,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan anggota polis terbabit terpaksa melepaskan empat das tembakan ke udara akibat diserang sekumpulan individu warga China selepas dikatakan tidak berpuas hati premis mereka di Jalan Abraham Off Jalan Imbi, Kuala Lumpur, diperiksa.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini