TIADA perbelanjaan besar dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kedah apabila menerima kunjungan pimpinan kerajaan pusat khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sebaliknya perbelanjaan kunjungan pemimpin tertinggi itu dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) atau UMNO sendiri jika ia membabitkan lawatan atas kapasiti sebagai Presiden UMNO.

“Perbelanjaan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) ke Kedah adalah bergantung kepada program yang dilakanakan dan sekiranya ia adalah lawatan berkaitan parti, maka UMNO akan mengeluarkan perbelanjaan itu.

“Baru-baru ini, Perdana Menteri ada bertemu penjawat awam di Kedah dan perbelanjaannya dikeluarkan oleh PMO dan jika ia membabitkan program nasional kita akan pastikan perbelajaan dari negeri tidak sebegitu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Azam Abd Samat (PAS-Sungai Limau) dalam mesyuarat kedua penggal kelima sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-13, di Wisma Darulaman, Alor Setar, hari ini.

Dalam soalannya, Mohd Azam ingin mengetahui kos perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri Kedah dalam menerima kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke negeri itu walhal kerajaan negeri sedang melaksanakan perbelanjaan berhemah.

Sementara itu, ketika menjawab soalan sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, walaupun hanya sedikit sahaja perbelanjaan yang dikeluarkan oleh Kedah, kunjungan pemimpin kerajaan itu sangat berfaedah terutama dalam mendekati rakyat.

“Kunjungan dua pemimpin tertinggi negara kita ini juga menguntungkan negeri apabila mereka membawa projek yang memberi faedah kepada Kedah.

“Program yang kita belanja banyak membabitkan pengisian mendekati rakyat sehingga beratus ribu yang datang dan ia harus diteruskan.

“Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pun datang mereka belanja sendiri dan bawa duit serta menguntungkan kita… justeru kita amat mengalu-alukan kedatangan mereka, ” katanya.

HARIAN METRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini