Baru sampai dah kena tahan

0
4

PASUKAN Polis Marin (PPM) menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang baru tiba dari Filipina, di sebuah rumah atas air Batu 2, Sandakan, jam 11.50 malam tadi.

PATI terdiri daripada 11 lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 47 tahun dipercayai berasal dari Zamboanga, Filipina.

Difahamkan, perjalanan semua PATI dari negara jiran itu ditanggung oleh sebuah syarikat perladangan kelapa sawit di negeri ini.

Mereka dijanjikan pekerjaan dan menjadikan rumah atas air itu sebagai lokasi transit sebelum bertolak ke ladang terbabit.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Mohd Yazib Abd Aziz berkata, bertindak atas maklumat serbuan dilakukan di rumah berkenaan.

“Ketika serbuan dijalankan, beberapa individu berada di beranda rumah melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis.

“Anggota bertugas kemudiannya membuat pemeriksaan di dalam ruang tamu rumah dan menemui 12 individu berkenaan sedang tidur. Semua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan disyaki baru mendarat di Sandakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yazib berkata, siasatan mendapati PATI berkenaan menaiki bot kumpit dari Zamboanga, Filipina ke Pulau Taganak, Filipina yang bersempadan dengan Sandakan.

“Sebaik tiba, mereka menunggu bot laju untuk masuk ke Sandakan.

“Perjalanan mereka juga ditanggung sepenuhnya oleh majikan ladang yang menawarkan pekerjaan di ladang kelapa sawit. Semua mereka dibawa ke Markas PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini