IPOH: Pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad menarik balik keputusannya untuk melepaskan jawatan, selepas dua jam pasukan itu muncul juara hoki Piala Razak edisi ke-55, di Stadium Azlan Shah, malam tadi.

Tindakan drastik itu dibuat dengan tujuan mahu menunaikan segala janji serta menghargai sumbangan pemain yang bersungguh-sungguh mahu mencipta kejayaan.

“Selepas tiga tahun menjadi pengurus, memang saya berhasrat mengundur diri jika kami masih gagal menjadi juara kali ini.

“Pada edisi 2015, kami melangkah ke final, tetapi kalah. Pada tahun lalu, Perak di tempat ketiga dan kali ini, barulah impian bergelar juara menjadi kenyataan.

“Selepas melihat kesungguhan dan komitmen mereka (malam tadi), saya mahu terus kekal bersama pasukan kerana begitu teruja selain ingin mengotakan segala janji,” katanya ketika berucap di majlis jamuan meraikan kejayaan menumbangkan juara bertahan, Terengganu, 3-2 di pentas final.

Azhar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP) berkata, lebih manis, kejayaan pasukan itu diraih di depan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Beliau yang juga pegawai tugas-tugas khas Dr Zambry yakin, kerajaan negeri akan memberi ganjaran sewajarnya kepada pemain berikutan kejayaan mereka itu.

“Tunggulah, pasti akan ada pengumuman tidak lama lagi,” katanya yang turut berjanji untuk mendapatkan pekerjaan bagi pemain yang masih belum memiliki pekerjaan tetap.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini