GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang memburu 10 ahli Geng 04 termasuk seorang daripadanya remaja bawah umur kerana dipercayai terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah, di negeri ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Zainol Samah, berkata semua suspek terbabit yang masih bebas berusia lingkungan 17 hingga 50-an.

“Hasil siasatan mendapati semua suspek dipercayai terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti mendatangkan kecederaan, rompakan, pemerasan, pengedaran dadah dan kes bunuh.

“Kita juga percaya suspek masih berada di dalam negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Zainol berkata, polis sudah menahan seramai 18 ahli kumpulan terbabit berusia antara 23 hingga 54 tahun termasuk ketua kawasan di beberapa lokasi sekitar negeri ini dalam Ops Cantas Jenayah Terancang Fasa Dua yang dilakukan pada 30 Oktober lalu.

“Hasil siasatan terhadap semua suspek yang ditahan mendapati mereka adalah sebuah kumpulan kongsi gelap yang aktif di sekitar Pulau Pinang.

“Semua suspek ditahan reman selama 28 hari sehingga 28 November ini, mengikut Seksyen (4) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Seksyen 130V dan Seksyen 130W Kanun Keseksaan,” katanya.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini