MAJLIS Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menguruskan 5,000 tan sampah yang dikutip di beberapa lokasi susulan banjir minggu lalu.

Bagi mempercepatkan proses pembuangan sampah dari lokasi banjir, MPSP membuka tujuh pusat transit sampah sementara.

Antaranya di Depoh Padang Lalang, belakang Kompleks Sukan Jalan Betik, Pasar Awam Sri Rambai dan Pasar Juru di Seberang Perai Tengah (SPT).

Selain itu, transit sampah sementara turut dibuka di Sungai Dua Utama, Kampung Tok Sani dan Industri Kecil dan Sederhana Usahajaya di Seberang Perai Utara (SPU).

Yang Dipertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud, berkata 2,400 kakitangan MPSP dengan bantuan tujuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor, kakitangan swasta dan sukarelawan.

Menurutnya, kerja pembersihan pasca banjir dilakukan sejak hari ketiga bencana dan dijangka berterusan sehingga minggu depan.

Katanya, 204 jentere, termasuk lori kecil digunakan bagi mengangkut sampah dari lokasi banjir ke pusat transit.

“Kerja pembersihan dilakukan di 71 lokasi banjir di SPU, 56 lokasi di SPT dan lima di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Kebanyakan sampah terdiri daripada perabot dan barangan elektrik,’ katanya.

Lapan puluh enam kampung dan 46 taman perumahan di Seberang Prai terjejas dalam banjir yang dianggap lebih buruk berbanding 2003.

Rozali berkata, mangsa banjir boleh meletakkan sampah di tepi jalan bagi memudahkan kakitangan MPSP mengangkatnya.

“Bagi mempercepatkan pembuangan sampah dari lokasi banjir, operasi di pusat transit dibuka antara 7 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.

HMETRO

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini