KUALA LUMPUR: Legasi politik ‘keluarga’ DAP diterajui Ketua Parlimennya, Lim Kit Siang yang tidak memberi ruang ahli parti itu untuk menyuarakan pendapat, didakwa menjadi antara punca kehadiran perwakilan DAP merosot  ketika pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu, pagi tadi.

 

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Dr Ismail Sualman, berkata ketidakhadiran itu juga menunjukkan ada yang membantah calon senarai perwakilan CEC tahun ini.

 

“Mereka (perwakilan tidak hadir) bukan tidak suka DAP tetapi tidak setuju dengan dominasi dua beranak (Kit Siang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng).

 

“Pemimpin DAP sebelum ini mendakwa akan amalkan sistem demokrasi secara telus, namun berlaku sebaliknya, hanya pentingkan kroni dan legasi keluarga (Kit Siang).

 

“Malah, Guan Eng juga menjadi penyebab beberapa pemimpin kanan DAP di Melaka, Johor dan Selangor bertindak keluar daripada parti itu,” katanya pada BH, hari ini.

 

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan, melihat wujud kemungkinan ada ahli DAP yang hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap ketelusan pemilihan CEC.

 

Katanya, ia sekali gus menyebabkan sokongan berkurangan terhadap kepemimpinan akar umbi parti berkenaan.

 

“Tidak jauh lari daripada anggapan (ahli) hilang kepercayaan (terhadap kepemimpinan DAP),  tetapi lebih menyedihkan bagi sebuah parti politik apabila ahli tidak mahu guna kuasa mengundi.

 

“Ini menunjukkan mereka sanggup ‘musnahkan’ parti sendiri,  masalah sebegini dalam sebuah parti politik dianggap begitu kronik sekali,” katanya.

 

Hanya 1,356 daripada 2,514 perwakilan yang layak mengundi hadir bagi pemilihan semula CEC di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, pagi tadi.

 

Kehadiran hanya 53.94 peratus itu jauh merosot berbanding 1,725 perwakilan yang mengundi bagi pemilihan semula CEC parti itu pada 2013.

bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini