SANDAKAN: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bersetuju membina sebuah pusat di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Pekan Muhibbah, di sini.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata pembinaan pusat di kawasan seluas 2.5 hektar itu bagi menyokong usaha KEMAS menyalur pendidikan awal kepada kanak-kanak, selain untuk kemudahan masyarakat setempat mengadakan pelbagai aktiviti.

“Sejak kita bangunkan Pekan Muhibah, kawasan yang mundur dahulunya¬† kini sudah ada Komuniti PPR, Taman Cahaya, masjid, kompleks sukan mini dan¬†satu lagi tempat penting yang perlu dibina iaitu pusat KEMAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvokesyen Mini KEMAS Libaran di Dewan Sri Libaran, di sini, hari ini. Seramai 962 kanak-kanak dari 36 TADIKA KEMAS seluruh Parlimen Libaran, menerima sijil tamat pendidikan prasekolah masing-masing.

Yang turut hadir, Pembantu Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Zakaria Edris; Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol serta Pengarah KEMAS Sabah, Shahrulnizam Jantan.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga, berkata kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan, sama ada kepada KEMAS atau Jabatan Pendidikan bagi meningkatkan lagi kemudahan pendidikan di negeri ini.

Ia, katanya, terbukti menerusi Bajet 2018 yang menyediakan peruntukan besar kepada Kementerian Pendidikan termasuk bagi membaik pulih sekolah daif di Sabah.

“Untuk sebuah negara berjaya dalam pentadbiran, mesti ada modal insan yang cemerlang dan berilmu. Secara peribadi, saya ingin menzahirkan tahniah kepada KEMAS dan gurunya yang memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran, berguna kepada bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata, menjadi hasrat kerajaan untuk melihat kanak-kanak di negeri ini memperoleh peluang pendidikan yang sebaiknya.

“Sebab itulah Libaran amat bertuah kerana sudah dibangunkan hab pendidikan khusus untuk anak-anak di pantai timur negeri ini. Ia memudahkan ibu bapa kerana tidak perlu hantar anak menyambung pengajian sehingga ke Kota Kinabalu,” katanya.

berita harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini