LONDON: Pengurus Chelsea, Antonio Conte mengeruhkan lagi permusuhannya dengan Jose Mourinho apabila tidak mempedulikan pengurus Manchester United itu selepas menang 1-0, awal pagi tadi.

Conte dan Mourinho sering berperang mulut musim ini dan minggu ini, pengurus kelahiran Itali itu mendakwa berlaku satu keajaiban apabila Chelsea berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris musim lalu selepas mewarisi beban ditinggalkan Mourinho.

Pengurus United yang dua kali dipecat Chelsea – meskipun menjulang trofi Inggeris tiga kali menyinggung perasaan Conte dengan mengkritik tabiatnya yang mengeluh mengenai kecederaan musim ini.

PENYERANG Chelsea, Alvaro Morata (kanan) meraikan gol tunggal jaringannya ketika menentang Manchester United pada saingan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, awal pagi tadi. – Foto AFP

Conte membalas ejekan Mourinho dengan memberitahunya supaya berhenti bercakap mengenai bekas kelabnya.

Jadi, sebaik saja tandukan Alvaro Morata pada minit ke-55 memberikan Mourinho kekalahan ketiga berturut-turut di Stamford Bridge, langsung tidak wujud sebarang tanda hubungan kedua-duanya akan pulih.

Conte segera meluru ke padang untuk meraikan kejayaan bersama pemain dan peminat daripada bersalaman dengan Mourinho, yang menunggu di tepi padang dan berbual dengan beberapa kakitangan kejurulatihan Chelsea.

Mengenai insiden itu, Conte membayangkan tindakannya itu sebagai tidak menghormati Mourinho.

“Ia tidak penting. Penting untuk memenangi perlawanan ini. Anda perlu mempunyai rasa hormat di dalam padang dan bukannya di luar padang,” kata Conte.

Mourinho, yang sebelum ini enggan berjabat dengan pengurus Arsenal, Arsene Wenger menegaskan, beliau sudah melakukan yang termampu untuk berjabat dengan Conte.

REAKSI penyerang Chelsea Alvaro Morata selepas meledak gol di Stamford Bridge, awal pagi tadi. – Foto AFP

“Takkan awak mahu saya mengejarnya di tengah padang,” katanya.

“Saya bersalam dengan orang yang ada di tepi padang. Saya fikir antara seorangnya adalah adiknya, yang juga penolongnya.

“Saya rasa saya sudah lakukan tugas. Saya tidak boleh mengejarnya. Dia tidak perlu menunggu. Tiada masalah langsung. Anda saja yang risaukan perkara itu.”- AFP

PENJAGA gol Manchester United, David de Gea (kiri) gagal menghalang gol ledakan penyerang Chelsea, Alvaro Morata di Stamford Bridge, awal pagi tadi. – Foto AFP

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini