Sekatan perjalanan baharu AS masih ‘khusus untuk Muslim’

0
12
Pengarah Eksekutif Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU), Anthony Romero.

WASHINGTON: Kumpulan hak asasi Amerika Syarikat (AS) semalam bertekad untuk terus memerangi versi terbaharu sekatan perjalanan lebih terbuka Presiden Donald Trump, menegaskan ia kekal satu larangan khusus ke atas penduduk Islam.

Walaupun Sudan dikeluarkan daripada senarai sekatan perjalanan daripada enam negara majoriti Islam dan tambahan Chad, Venezuela serta Korea Utara ke dalam senarai itu, aktivis dan pakar perundangan berkata, niat Trump kekal sama, iaitu secara drastik mengurangkan aliran pelawat Islam dan pendatang ke AS.

“Larangan itu bukan yang lebih baik daripada sebelum ini,” kata wakil Majlis Hubungan Islam AS (CAIR), Zahra Billoo.

Pengarah Eksekutif Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU), Anthony Romero berkata, hakikat bahawa Trump menambah Korea Utara, dengan sebilangan kecil pelawat ke AS dan segelintir pegawai kerajaan dari Venezuela tidak merumitkan hakikat sebenar bahawa arahan pentadbiran itu masih satu larangan ke atas penduduk Islam.

“Dosa asal Presiden Trump menyasar penduduk Islam tidak dapat dipulihkan dengan menambah negara lain ke dalam senarai musuhnya,” kata Romero.

Kelmarin, Rumah Putih mengeluarkan arahan eksekutif baharu menggantikan larangan sementara 90 hari ke atas pelawat dari Sudan, Syria, Yaman, Iran, Somalia dan Libya.

Pentadbiran itu berkata, larangan itu diperlukan bagi menghalang pengganas potensi daripada memasuki AS. Lapan negara yang termasuk dalam arahan baharu itu dipilih berdasarkan semakan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berhubung tapisan dan kerjasama keselamatan, kata pihak berkuasa.

Larangan penuh diambil ke atas pelawat dari Korea Utara, Chad, Syria, Yaman dan Libya.

Bagi Iran, pengecualian terhadap larangan penuh diberi kepada pelajar dan pertukaran pelawat. Untuk Somalia, pendatang baharu disekat namun visa pelawat akan dibenarkan untuk perniagaan, urusan rasmi dan alasan peribadi, walaupun ia masih ditapis dengan ketat.

Untuk Venezuela, pegawai daripada sesetengah kementerian utama dan agensi kerajaan serta keluarga mereka, dilarang.

Larangan baharu itu muncul selepas Trump berjuang lima bulan untuk mendapatkan larangan sementara berkuat kuasa. Penyokong imigresen berupaya menyekat pelaksanaan itu berulang kali atas alasan ia secara tidak sah menyasar Muslim, seperti mana janji Trump ketika pilihan raya. -AFP

-Berita Harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini