Georgetown dilanda banjir

0
28

GEORGETOWN – Kejadian banjir kilat yang melanda kebanyakan kawasan di lima daerah di negeri ini pagi ini susulan hujan lebat sejak 3 pagi tadi hampir melumpuhkan bandar raya ini  yang mengalami kesesakan teruk selepas beberapa jalan menuju ke pusat bandar ditutup akibat ditenggelami air.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang berkata antara kawasan yang dilaporkan terjejas ialah Jalan P. Ramlee, Jalan Masjid Negeri, Sungai Pinang, Taman Lumba Kuda, Bandar Baru Air Itam, Paya Terubong, Relau, Balik Pulau, Batu Ferringhi serta beberapa kawasan di Seberang Perai iaitu Taman Bagan, Mak Mandin, Permatang Pauh dan Jalan Tembikai.

“Namun sehingga kini belum ada pusat pemindahan dibuka selain tiada laporan kemusnahan harta-benda atau kemalangan jiwa diterima,” katanya kepada pemberita, di sini.

Kesesakan teruk juga dilaporkan berlaku di sekitar bandar raya  dan di atas Jambatan Pulau Pinang dari kedua-dua arah termasuk di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu menuju ke pusat bandar berikutan penutupan jalan.

Setakat 10 pagi ini, keadaan hujan masih belum menunjukkan tanda-tanda akan reda.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati Jalan P.Ramlee  ditenggelami air kira-kira 0.5 meter.

Selain itu, difahamkan kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh turut dilaporkan di Medan Fettes dan Paya Terubong namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Timur Laut, paras air sungai di Sungai Pinang dan Sungai Air Itam telah mencecah paras bahaya.

“Tahap kedalaman air di beberapa kawasan di Timur Laut telah mencecah 0.6 meter namun setakat 9 pagi ini tiada pusat pemindahan dibuka,” katanya. – Bernama

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini