Buat filem ‘barai’ Ahmad Idham ‘koyak’ dikritik peminat

0
119

Kuala Lumpur – Para pengguna media sosial menyifatkan pengarah filem, Ahmad Idham Nadzri mudah melatah apabila dikritik ekoran filem Pencuri Hati Mr. Cinderella tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.

Untuk rekod, filem tersebut hanya mampu meraih RM100,000 sejak ditayangkan 10 Ogos lalu selepas habis ditutup ikut Syarat Wajib Tayang yang ditetapkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Ahmad Idham sebelum ini menyalahkan keadaan ekonomi negara yang disifatkannya sebagai punca filemnya tidak mendapat sambutan.

Malah beliau mencabar pula sesiapa yang mengecamnya untuk bersemuka.

“Saya serius ni nak bersemuka dan bertukar pandangan. Mai ler! (Marilah) Nanti kata saya tidak boleh terima teguran lak (pula). Jom la bincang cara gentleman,” menurutnya menerusi akaun Twitternya.

Bagi Dhe-saster, bukan Ahmad Idham seorang sahaja pengarah filem dalam negara yang menghasilkan filem yang tidak bermutu namun tidak mudah berang apabila dikritik.

“Ramai lagi pengarah yang buat drama atau filem barai. Tapi depa (mereka) tak koyak bila kena kritik. Abang dah lama dalam industri seni abang patut tahu.

Dhe-saster dalam masa yang sama menegur pengarah filem itu untuk menjadikan kritikan sebagai cara memperbaiki mutu filem atau drama hasilnya pada masa akan datang.

“Bukan suruh abang buat bodoh kena pijak tak. At least (sekurang-kurangnya) ambil sikit apa yang orang kritik sebagai benda untuk up (naikkan) filem atau drama. Bukan semua buta hati,” katanya.

Terdahulu poster filem Pencuri Hati Mr. Cinderella dikecam teruk oleh netizen dan ramai yang berpendapat ia ketinggalan zaman serta dihasilkan pereka grafik tidak berpengalaman.

Kritikan yang sama juga diterimanya sebelum ini apabila menghasilkan filem Minah Moto pada Jun yang lalu. – MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini