Terbabas ke dalam gaung, bayi 3 bulan maut.

0
17
Sumber Gambar : Kosmo Online

JELI – Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia selepas kereta yang dinaiki bersama keluarganya terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kilometer 24.14 Lebuh Raya Timur Barat Jeli- Gerik di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, pasangan suami isteri itu bersama dua anak mereka berusia dua tahun dan tiga bulan menaiki sebuah kereta Toyota Vios dari Alor Setar, Kedah menghala ke rumah mereka di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa Kota Bharu.

Bayi mereka yang meninggal dunia dikenali Muhammad Hadif Hilmifarizal manakala tiga yang lain terselamat iaitu Hilmifarizal Saad, 31, isterinya Nur Fariza Zainol, 31, dan anak sulungnya, Hani Zhafira cedera parah dirawat di Hospital Jeli.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Shahril Mohamad Sa’aid , pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.44 petang.

“Operasi mencari dan menyelamat kesemua mangsa bermula pada pukul 7.30 malam dan berakhir pada pukul 11.26 malam dengan kerjasama anggota dari Gerik, Perak.

“Pihak bomba berjaya mengeluarkan kesemua mangsa secara berperingkat. Tiga mangsa mengalami kecederaan parah manakala bayi lelaki dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd. Yusoff Jaafar mengesahkan kejadian tersebut yang melibatkan empat beranak termasuk seorang bayi yang terbunuh.

“Sampai tempat kejadian, kereta yang dipandu Hilmifarizal telah hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam gaung.

“Akibat kemalangan tersebut, Muhammad Hadif maut di tempat kejadian. Siasatan lanjut masih diteruskan,” jelasnya. – K! ONLINE.

 

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini