Netizen Kritik Melodi Bangkit Bersama Kurang Menaikkan Semangat

0
23

KUALA LUMPUR: Penyanyi Dayang Nurfaizah meminta netizen yang mengkritik lagu tema Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berjudul Bangkit Bersama dendangannya, tidak menilai lagu itu berdasarkan melodi semata-mata.

Sebaliknya, tegas Dayang, sebagai lagu tema untuk acara sukan terbesar di rantau ini, penekanan harus diberi kepada lirik supaya mesej positif yang ingin disalurkan dalam lagu ciptaan Datuk Ramli MS itu sampai kepada pendengar.

“Saya tahu ramai yang mengkritik lagu Bangkit Bersama atas alasan melodinya kurang menaikkan semangat terutama untuk sebuah temasya sukan sebesar itu.

“Seperti yang dikatakan Ramli pada saya, lagu itu sebenarnya mengajar kita untuk menghargai jasa diri, bukannya sekadar laungan untuk mengharapkan kemenangan semata-mata.

“Apabila kita menghargai jasa diri, kita akan tahu apakah matlamat kita. Dengan itu, ia akan memberikan kita semangat yang lebih untuk mendapatkan apa yang dicita-citakan,” kata penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini kepada BH Online, hari ini.

Malam tadi, Dayang diberi penghormatan menyanyikan lagu tema itu di hadapan ribuan penonton sempena perasmian KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Mengulas penampilannya yang dianggap tidak sesuai dengan acara itu, penyanyi lagu Separuh Matiku Bercinta ini memberitahu, apa yang digayakan ialah yang terbaik serta mendapat keizinan penganjur.

“Sejujurnya, Dayang dan pihak pengurusan keliru apakah penampilan yang sesuai untuk malam tadi? Apakah Dayang perlu memakai jersi memandangkan ia adalah acara sukan atau bergaya tradisional?

“Bagaimanapun, selepas pihak penganjur meminta Dayang datang sebagai diri sendiri dan berbincang dengan pereka, Rizalman, terhasillah penampilan itu,” jelasnya.

Sambil menyifatkan peluang yang diberi suatu pengalaman berharga, dalam gementar Dayang cuba memberikan yang terbaik dalam persembahannya.

Dia mahu mengabadikan peluang beraksi di pentas KL2017 sebagai detik indah sepanjang 15 tahun bergelar anak seni.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini