Umno Selangor masih hidup dalam kepura-puraan

0
17

Kuala Lumpur – Bekas menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo hari ini berkata Barisan Nasional Selangor masih tidak mengetahui, malah tidak mahu tahu, mengapa mereka kalah teruk pada pilihan raya umum 2013.

Beliau membidas BN Selangor yang dikatakan hidup dalam andaian dan tanggapan politik yang tidak jujur, walaupun selepas prestasi buruk sejak pilihan raya umum 2008.

“Masalah dalam BN dan Umno ialah mereka tidak berani membuat penilaian sebenar, hidup dalam kepura-puraan mengenai persepsi rakyat,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau mendakwa masalah bermula selepas PRU12 lagi, apabila mereka beranggapan kekalahan BN Selangor pada 2008 kerana Khir Toyo.

Menurut Khir Toyo, BN ketika itu lupa yang mereka tewas bukan sahaja di Selangor, tetapi juga di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan.

“Lalu mereka perlu singkirkan saya untuk memberi imej gemerlapan dan gemilang kepada BN Selangor. Saya dibicara dan dipenjarakan.

“Malangnya pada 2013 tanpa saya, BN Selangor kalah lagi teruk,” kata Khir Toyo.

Katanya, walaupun BN berjaya merampas Perak dan Kedah pada PRU13, gabungan itu nyaris kalah di Terengganu, dengan kelebihan 2 kerusi sahaja.

“Mereka bersorak menang besar di (Pilihan Raya Kecil) Sungai Besar…Undi yang diterima calon BN, Budiman Mohd Zohdi hanyalah 16,800 undi berbanding undi yang diterima Noriah Kasnon (18,695 undi). Bayangkan undi merosot hampir 2,000 undi.

“Jadi kuat di mana kita? Kuat hanya kerana pihak musuh berpecah, Jika esok mereka bersatu, apa strategi kita?” kata Khir Toyo.

Semalam, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan BN Selangor perlu mengenal pasti kelemahan parti itu selepas gagal merampas kembali negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum PRU-13.

Tengku Adnan mendakwa antara punca kekalahan BN pada PRU12 adalah akibat kemarahan rakyat terhadap Khir Toyo dalam isu seperti pencerobohan kuil dan anugerah penyapu kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri.

“Tapi, apabila beliau sudah tidak lagi menjadi menteri besar selepas itu, kenapa kita masih kalah pada PRU13? Saya minta kepada mereka (BN) cari punca kenapa ini berlaku, mesti ada sebab,” kata menteri itu.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini