Isa Samad ditahan SPRM, untuk bantu siasatan hotel Felda

0
25

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Tan Sri Isa Samad bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian 2 buah hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Sumber berkata Isa ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang untuk memberi keterangan lanjut berhubung pembelian 2 hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015 itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata penahanan itu merupakan tindakan susulan hasil daripada keterangan yang dirakam oleh pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.

“Justeru itu, SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” tambah beliau.

Ditubuhkan pada 2013, FIC adalah cabang pelaburan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dengan tumpuan kepada sektor hartanah, keraian dan minyak dan gas.

FIC dilaporkan membeli sebuah hotel 4 bintang di Kensington, London pada £60 juta (RM330 juta) pada 16 Disember 2014.

Isa selaku pengerusi Felda ketika itu dilaporkan berkata pembelian pembelian Grand Plaza Kensington itu sebahagian daripada “langkah strategik” FIC untuk mempelbagaikan aset dan memastikan ia dapat “memaksimumkan pulangan pelaburan” syarikat.

Pembelian itu menjadi pelaburan ke-12 FIC dalam portfolio keraian, selepas Felda membayar £98 juta (RM538 juta) untuk sebuah pangsapuri perkhidmatan 198 unit di Bayswater, London pada 2013.

Selain pembelian hotel di London, kertas siasatan turut dibuka terhadap pembelian sebuah hotel di Kuching, susulan maklumat yang diterima oleh pasukan penyiasat ketika menjalankan siasatan terhadap pembelian hotel di London.

Kertas siasatan dibuka atas arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad bagi menyiasat pembelian yang disyaki dibeli dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.

Berdasarkan maklumat siasatan awal SPRM, FIC dipercayai membeli hotel itu dengan harga lebih tinggi daripada harga asal sehingga mengakibatkan FIC mengalami kerugian jutaan ringgit.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini