Adakah kerajaan DAP Pulau Pinang sayangkan kilang haram soal Umno

0
8

Kuala Lumpur – Umno Pulau Pinang hairan mengapa kerajaan negeri mengambil masa 9 tahun untuk menutup sebuah kilang penapis haram di Sungai Lembu, seolah-olah terdapat campur tangan daripada kerajaan.

Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman berkata demikian susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas perkara itu.

“Saya amat hairan kenapa kerajaan negeri yang ‘Kompeten, Akauntabel dan Telus’ perlukan masa lebih 9 tahun untuk cari penyelesaian sebuah kilang haram tersebut yang mengancam keselamatan dan kesihatan awam.

“Apakah kerajaan Pulau Pinang lebih ‘sayangkan’ kilang haram daripada keselamatan dan kesihatan awam? ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Ketua Menteri Lim Guan Eng dilaporkan berkata kerajaan negeri tidak boleh mengambil tindakan terhadap kilang haram itu kerana ia dibina atas tanah persendirian.

Zainal bagaimanapun berkata kenyataan ketua menteri bercanggah dengan jawapan Exco Chow Kon Yeow semasa sidang Dewan Undangan Negeri pada April 2012.

“Chow menyatakan kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai telah mengambil tindakan ke atas kilang-kilang haram atas tanah persendirian, di bawah Seksyen 72 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dengan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk meroboh bangunan haram tersebut; manakala untuk kilang-kilang atas tanah Kerajaan, tindakan akan diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah melalui notis di bawah Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara.

“Ketua menteri berkata menjadi dasar kerajaan untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008 kecuali jika ia mengganggu orang awam dan aliran trafik sehingga satu penyelesaian dapat dicapai.

“Saya ingin mengajukan beberapa soalan kepada ketua menteri; bilakah dasar itu diluluskan oleh majlis mesyuarat exco, dan bolehkah Ketua Menteri memberikan cabutan minit mesyuarat exco yang meluluskan dasar tersebut?” katanya.

Merujuk kepada kilang haram di Sungai Lembu, beliau ingin tahu tidakkah banyak aduan dibuat oleh orang ramai dan penduduk berhampiran yang kilang itu membahayakan kesihatan dan mengancam keselamatan mereka.

Beliau berkata aduan juga pernah dibuat oleh Adun Penanti Dr Norlela Ariffin pada sidang Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata kerajaan Pulau Pinang mesti lebih tegas dan berani mengambil tindakan terhadpa kilang haram yang masih beroperasi di Pulau Pinang, terutamanya yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.

“Ketua menteri dan kerajaan negeri ada kuasa untuk menutup kilang-kilang haram dan tidak perlu kaitkan Barisan Nasional dalam sebarang tindakan diambil kerajaan negeri.

“Tunjukkan kerajaan negeri sekarang ‘Kompeten, Akauntabel dan Telus’ dan tidak takut untuk ambil tindakan ke atas kilang-kilang haram.

“Ketua menteri perlu hentikan terlalu banyak berpolitik dalam mengurus tadbir dan perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negeri. Jangan hipokrit dan jangan terus membohongi rakyat Pulau Pinang kerana sudah lebih 9 tahun DAP jadi kerajaan negeri di Pulau Pinang,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini