Mereka baling kerusi, kasut untuk halang saya soal Tun kata Taufik (Video)

0
2683

Kuala Lumpur – Mohamad Taufik Abas mendakwa kekecohan yang berlaku ketika forum Nothing to Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor semalam berpunca kerana rasa tidak puas hati di kalangan para pengikut Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri dan bukannya berpunca dari pihak luar seperti yang didakwa.

Beliau yang juga merupakan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Pusat, PPBM ketika dihubungi MassaTV turut mendakwa pihak penganjur cuba menyalahkan pihak lain kerana ingin menutup kelemahan sendiri.

“Saya cuma mengambil peluang bertanya ketika forum tersebut kerana ingin mendapatkan penjelasan dari Tun sendiri, itu pun moderator asyik potong soalan saya seolah-olah mahu mengelakkan sesuatu.

“Kejadian baling kerusi bukanlah ditujukan kepada Tun sebaliknya kerusi tersebut memang disasarkan kepada saya supaya saya tidak terus menyoal Tun (boleh rujuk kepada video kerusi pertama dibaling yang hampir sampai kepada saya bukannya Tun yang jaraknya sangat jauh).

“Jadi kalau nak reka cerita pun biarlah logik jangan nampak sangat mainan kotor macam ni, seandainya si pembaling memang nak tujukan kerusi itu kepada Tun, ianya bukanlah perkara yang sukar kerana Tun berdiri di atas pentas secara terbuka,” katanya sebentar tadi.

Forum anjuran PPBM itu bertukar menjadi ganas apabila Taufik membangkitkan persoalan berkaitan peristiwa berdarah Memali yang berlaku lebih 30 tahun lalu antara penduduk kampung di Baling, Kedah dengan anggota keselamatan.

Mereka yang tidak berpuas hati dengan soalan tersebut kemudianya bertindak membaling beberapa objek antaranya kerusi, kasut, botol minuman malah ada yang bertindak membakar suar.

Menurut Taufik lagi, berdasarkan rakaman video turut memaparkan ada kerusi yang turut dilemparkan dari bilik audio yang berada di tingkat atas.

“Dapat dilihat juga dengan jelas ada beberapa objek yang dibaling dari atas yang mana disitu cuma ada urusetia program bersama dengan salah seorang Ketua Armada negeri dan para pengikut beliau.

“Ini bukanlah pertama kali orang2 tertentu dalam Bersatu menggunakan taktik lakonan (seperti itu) dan cuba menyalahkan pihak lain.

“Cuma janganlah gunakan taktik yang sama terhadap saya kerana saya tahu tentang kerja-kerja ‘black ops’ Bersatu ni (jadi) jangan sampai saya dedahkan satu persatu kerja kotor (yang pernah) anda semua (lakukan) sebelum ini,” katanya lagi. – MassaTV

 

 

Laporan video menyusul

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini