“Hubungan Baik dan Perancangan Strategik adalah Lebih Penting” Kata Hishammuddin

0
37

LABUAN: Kerajaan akan terus mengukuhkan lagi hubungan baik dengan negara-negara asing tanpa terlalu memberi tumpuan kepada aset-aset ketenteraan yang canggih, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata aset-aset Kementerian Pertahanan yang sedia ada pada masa ini adalah mencukupi untuk melindungi dan mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

“Apa yang kita ada sekarang (aset) adalah mencukupi untuk kemungkinan digunakan dalam serangan balas. Kita tidak memerlukan aset yang canggih untuk menghadapi ancaman kumpulan militan seperti Abu Sayyaf…kita tidak akan berperang dengan Korea Utara dan kuasa-kuasa nuklear,” kata beliau selepas merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Labuan di sini pada Ahad.

Beliau berkata apa yang penting ialah untuk memastikan aset ketenteraan negara adalah mencukupi untuk mempertahankan negara terutama Sabah dan Labuan daripada sebarang kemungkinan serangan atau pencerobohan baharu.

“Ini menunjukkan tentang pentingnya mempunyai hubungan baik dengan negara-negara jiran terutama perjanjian tiga hala dengan Indonesia dan Filipina dengan menjalin kerjasama dalam bidang perisikan.

“Yang tidak kurang penting ialah mengadakan hubungan baik dengan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, dan ini adalah lebih baik daripada memiliki aset-aset yang canggih,” kata beliau.

Hishammuddin menegaskan bahawa hubungan baik dan perancangan strategik adalah lebih penting demi menjamin keamanan negara.

Beliau menarik perhatian kepada penggunaan aset-aset canggih dalam menghadapi kumpulan pengganas Daesh di Syria terbukti tidak membawa kejayaan.

-BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini