Nothing To Hide2: Kerusi, kasut dibaling ke arah Mahathir selepas soalan Memali

0
3737

SHAH ALAM – Kekecohan tercetus pada forum Nothing to Hide 2.0 di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor di sini semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan sebentar tadi berkenaan dengan tragedi Memali ketika beliau menjadi perdana menteri.

Sekumpulan peserta yang tidak berpuas hati dengan penjelasan beliau secara tiba-tiba membaling suar, kerusi dan botol air ke arah pentas di mana Dr Mahathir sedang berada pada ketika itu.

Dua bom asap turut dilemparkan ke atas peserta, di samping kerusi, kasut, botol air dibaling ke arah Dr Mahathir.

Kejadian berlaku sekitar 5.30 petang, kira-kira 2 jam selepas program itu bermula.

Suasana itu mencetus panik di kalangan pemimpin dan peserta yang mengikuti forum itu, menyebabkan semua lari menyelamatkan diri dan berlaku pergelutan di kalangan penyokong Dr Mahathir dan peserta yang tidak berpuas hati.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi PPBM dan Pakatan Harapan kemudiannya dibawa ke belakang pentas oleh penganjur program.

Forum tersebut dianjurkan oleh sayap pemuda PPBM, Armada.

Kesemua pemimpin Pakatan Harapan yang hadir turut di bawa keluar oleh pihak keselamatan forum.

Insiden itu juga menyebabkan program yang pada awalnya dijadual berakhir pada jam 6 petang terpaksa dihentikan lebih awal.

Antara pemimpin Pakatan Harapan yang hadir termasuklah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir Mohamad, Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Datuk Zaid Ibrahim, Khalid Abdul Samad, Zuraida Kamaruddin, Ng Sue Lim dan Dr Daroyah Alwi.

Bulan lalu, Dr Mahathir mencabar Najib ke forum yang diadakan hari ini.

Pada 25 Julai sekumpulan ahli Pemuda PPBM yang hadir di Pusat Dagangan Dunia Putra untuk menghantar undangan rasmi kepada Najib itu dihalang kira-kira 200 Pemuda Umno hingga menyebabkan berlaku tolak menolak antara mereka.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini