Halimah letak jawatan untuk bertanding jadi presiden.

0
47

SINGAPURA, 7 Ogos (Bernama) — Halimah Yacob hari ini meletak jawatan sebagai Speaker Parlimen Singapura dan Anggota Parlimen untuk bertanding jawatan presiden bulan depan.

Anggota Parlimen bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling-Yew Tee itu mengesahkan malam tadi beliau akan bertanding dalam pemilihan presiden, yang kali ini dikhaskan untuk calon Melayu.

“Pagi tadi, saya meletak jawatan sebagai Speaker Parlimen, Anggota Parlimen bagi GRC Marsiling-Yew Tee dan sebagai anggota People´s Action Party,” kata Halimah dalam catatan terbaru di laman Facebooknya.

Dalam catatan itu, Halimah juga melampirkan surat peletakan jawatan yang dikemukakan beliau kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang juga setiausaha agung People’s Action Party (PAP).

Dalam catatannya, Halimah berkata beliau juga tidak akan lagi menjadi anggota Jawatankuasa Kerja Pusat PAP, pengerusi Kumpulan Senior PAP (PAP. SG) dan pengerusi PAP cawangan Marsiling.

Halimah merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan sejawatannnya sebagai anggota Parlimen dan anggota PAP “atas sokongan berterusan serta persahabatan mereka dan kerana bekerjasama untuk menjadikan Singapura tempat tinggal yang lebih sejahtera untuk rakyat kita”.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura atas sokongan padu dan galakan yang telah mereka berikan. Saya amat terharu dan berbangga kerana rakyat Singapura daripada pelbagai lapisan kehidupan meminta saya menimbang untuk bertanding jawatan presiden.

“Saya berjanji tidak akan mengecewakan anda dan saya tidak sabar untuk terus berkhidmat untuk anda,” katanya.

Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa Halimah juga menghantar sepucuk surat kepada Timbalan Speaker Charles Chong bagi meminta beliau menerajui Dewan, sehinggalah Speaker baharu dipilih.

Mengenai kerusi beliau bagi GRC Marsiling-Yew Tee, Menteri Pembangunan Nasional Lawrence Wong dilaporkan berkata pada Ahad bahawa beliau dan anggota Parlimen lain dalam GRC berkenaan – Alex Yam dan Ong Teng Koon – akan mengisi kekosongan dalam memberi khidmat kepada penduduk di kawasan yang sebelum ini diwakili Halimah.

Sementara itu, Lee menerima perletakan jawatan Halimah.

“Saya terima perletakan jawatan anda daripada People´s Action Party,” kata Lee dalam surat jawapannya kepada Halimah.

Lee berkata beliau tidak ragu-ragu bahawa Halimah akan dapat memainkan peranannya yang berbeza dengan baik.

“Saya yakin jika dipilih, anda akan melakukan yang terbaik, seperti yang sering anda lakukan, dan akan membawa kemuliaan dan kehangatan peribadi, pengalaman pentadbiran dan keprihatinan terhadap rakyat, sehingga ke jawatan yang tertinggi di negara ini,” kata Lee.

Dalam satu kenyataan berasingan, Pejabat Perdana Menteri Singapura berkata Perdana Menteri akan mencalonkan Speaker Parlimen yang baharu dalam sidang akan datang.

Sementara itu, Timbalan Speaker Charles Chong akan bertindak sebagai pemangku Speaker, kata kenyataan itu.

penulis : Massita Ahmad

— BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini