“Kerana Ayam, Seorang Lelaki Meninggal Dunia”

0
75
Gambar Sekadar Hiasan

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut dipukul selepas dikatakan dituduh mencuri ayam peliharaan milik suspek di tepi jalan Kampung Batu 1, Jalan Segama, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, Jamaluddin Mudeng, 37, ditemui terbaring dan masih hidup sebelum dibawa ke sebuah rumah di kampung berkenaan.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, dia disahkan meninggal dunia dan pada masa sama, seorang penduduk kampung menghubungi polis.

Sumber berkata, sebelum kejadian suspek dipercayai berang selepas ayam peliharaannya dicuri dua hari lalu dari reban dan mengesyaki mangsa mencurinya.

“Suspek kemudian menemui mangsa yang juga rakan sekampungnya di tepi jalan di kawasan kampung berkenaan dan dipercayai berlaku pergaduhan.

“Selepas itu, mangsa ditemui terbaring oleh penduduk kampung lalu membawanya ke rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu,” katanya di sini, hari ini.

Difahamkan, suspek melarikan diri sejurus kejadian dan gerakan memburunya giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Hamzah Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

-Berita Harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini