Lebih 1,000 Orang Meraikan Sukan SEA Ke-29 Dan Sukan Para ASEAN Ke-9

0
30

SEPANG: Lebih 1,000 peserta terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan penduduk sekitar Sepang menyertai Larian Obor KL2017 bagi meraikan temasya Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan.

Larian Obor KL2017 yang berlangsung di seluruh negara sejak Mei lalu itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, yang juga perjalanan terakhir di Selangor dengan larian sejauh 8.4 kilometer (km).

MAHB sebagai Penaja Emas KL2017 yang juga dikenali sebagai ‘Rakan Penyambut Delegasi KL 2017’ akan mengalu-alukan kedatangan hampir 7,000 atlet dan pegawai dari 10 negara ASEAN ke Malaysia.

Pengurus Besar Kanan MAHB, Zainol Mohd Isa, berkata pihaknya berbangga dapat menyertai Larian Obor di KLIA sebagai tanda sokongan kepada temasya berkenaan.

“Pada hari ini seramai 527 kakitangan MAHB menyertai Larian Obor KL2017 dan ia mencipta sejarah baharu bagi kami sebagai kakitangan dan rakyat Malaysia.

“Kita berbangga untuk terus berkhidmat kepada negara terutama pada acara gemilang kali ini, malah peranan kami sebagai salah satu penaja lebih bermakna kerana tahun ini MAHB memasuki tahun Jubli Perak,” katanya dalam satu kenyataan sempena Majlis Sambutan Jelajah Larian Obor KL2017 di KLIA, di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan.

Hadir sama Ketua UMNO Sepang, Datuk Marsum Paing; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Mohd Sharif dan Ketua Pemuda UMNO Sepang, Noorazli Said.

Pada majlis itu, Obor KL2017 diserahkan kepada kepada Zainol sebagai gimik perasmian Larian Obor KL2017 di KLIA yang bermula jam 8 pagi tadi.

-Bharian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini