Belasah Furby, Ahli Perniagaan Kini Didakwa

0
26
Terry Yee Kok Chew dibawa keluar dari Mahkamah Majistret 5, Kompleks Mahkamah Petaling Jaya selepas didakwa memukul anjing dengan zalim.

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan warga Singapura yang viral di media sosial kerana membelasah seekor anjing bernama Furby di sebuah pondok keselamatan di Bandar Kinrara, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Yee Kok Chew, 57, selaku orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Mohd Azali Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Kok Chew didakwa bertindak zalim dengan memukul, menyakiti dan mendera seekor anjing jantan baka Mongrel berwarna coklat putih sehingga mendatangkan kesakitan dan penderitaan tidak wajar terhadap haiwan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pondok keselamatan, Jalan BK6 E/4 (1), Taman Melody, Bansae Kinrara, Puchong, di sini, jam 8.49 malam, pada 2 April lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Binatang 1953 (Akta 647) (Semakan 2006) dan dihukum di bawah Akta Binatang (Pindaan 2013) (Akta A1452) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim menawarkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh. Bagaimanapun, Kok Chew dalam rayuannya diwakili peguam Joshua Andran tidak membantah jaminan itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan 4 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2.43 saat tersebar di laman sosial memaparkan seorang lelaki memukul anjing itu dengan ganas menggunakan topi keledar.

Anjing itu kini ditahan di Pejabat Veterinar Petaling.

-Berita Harian

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini