Annabelle ‘bertugas’ Di Rapid KL

0
21

SELEPAS memuat naik gambar penumpang ‘buat hal’ dan tular di media sosial, Rapid KL sekali lagi mencuri tumpuan dalam usaha mendidik orang ramai apabila menjadikan patung hantu Annabelle yang juga watak dalam filem seram Annabelle dan The Conjuring sebagai ‘pemerhati’ penumpang LRT, MRT dan Monorel.

Jurucakap Rapid KL berkata, tiada sebarang niat jahat dengan tindakan itu sebaliknya hanya usaha pasukan media sosial Rapid KL menyampaikan mesej dengan cara yang unik dan lebih berkesan.

Katanya, patung itu sebagai simbolik mesej kepada penumpang supaya tidak ‘buat hal’ kerana jika tidak menjaga tingkah laku, ia akan menghantui hidup si pelaku perbuatan negatif buat selama-lamanya.

“Kami bersyukur kerana pendekatan seperti memuat naik gambar aktiviti kurang berhemah sejak beberapa hari lalu dan meletakkan patung Annabelle hari ini, difahami oleh rata-rata pengguna perkhidmatan pengangkutan awam mengenai mesej yang ingin disampaikan.

“Kebanyakan pengguna laman sosial juga bersetuju serta menyokong usaha kami untuk berkongsi dengan orang ramai mengenai etika sosial bagi menjaga perkhidmatan awam dan harta benda awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tindakan berkenaan bertujuan mendidik orang ramai supaya berhemah.

“Ia sebagai teguran sinis kepada mereka yang ‘nakal’ ketika menggunakan kemudahan pengangkutan awam supaya aktiviti tidak sewajarnya tidak berlaku lagi.

“Bagaimanapun kami tidak akan maklumkan di mana dan bila Annabelle akan ‘bertugas’ sebagai ‘pemerhati’,” katanya.

Menurutnya, Rapid KL berterima kasih kepada orang awam yang prihatin dengan melaporkan tindakan kurang wajar segelintir penumpang serta memberi cadangan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pengangkutan awam.

Katanya, pendekatan seumpama itu adalah kali pertama dilakukan oleh Rapid KL bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan perkara yang membahayakan keselamatan penumpang lain.

Harian Metro Online semalam melaporkan mengenai usaha Rapid KL memuatnaik gambar di Facebook dan Twitter tindakan negatif penumpang pengangkutan awam bertujuan mendidik mereka untuk berhemah.

Gambar patung Annabelle berada di tempat duduk MRT dan atas mesin pengimbas tiket yang dimuat naik di akaun Facebook Rapid KL hari ini menjadi tular serta menerima pelbagai reaksi daripada netizen.

_Hmetro

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini