KUANTAN, 31 Julai (Bernama) — Kutipan cukai tanah menyumbang sebanyak RM437.30 juta kepada hasil kerajaan negeri Pahang bagi tempoh 2013 hingga Jun 2016, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen hari ini.

Menurut laporan itu setakat Jun 2016, terdapat 626,505 hak milik tanah di Pahang yang dikenakan cukai, dan kutipan cukai ini adalah penyumbang yang tertinggi kepada hasil kerajaan negeri.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan pendapat bahawa pencapaian kutipan hasil cukai tanah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuantan dan Rompin adalah kurang memuaskan kerana hanya berjaya mengutip separuh daripada jumlah yang sepatutnya.

“Laporan kutipan hasil bagi tempoh 2013 hingga 2015 mendapati prestasi cukai tanah semasa bagi PDT Kuantan adalah antara 59.6 peratus hingga 73 peratus manakala bagi PDT Rompin antara 62.3 peratus hingga 87.9 peratus.

“Prestasi kutipan tunggakan cukai tanah bagi tempoh yang sama di PDT Kuantan adalah antara 17.4 peratus hingga 48.1 peratus manakala bagi PDT Rompin pula adalah 16.5 peratus hingga 45.4 peratus,” menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyatakan bagi tempoh sama, PDT Kuantan mempunyai 56,442 hak milik yang tertunggak cukai tanah bernilai RM29.15 juta dengan denda RM5.15 juta manakala tunggakan cukai tanah RM10.97 juta dengan denda RM0.51 juta direkodkan oleh 7,663 hak milik di PDT Rompin.

Sehubungan itu, laporan itu mengesyorkan supaya promosi bersesuaian dilaksanakan kepada pembayar cukai yang mempunyai tunggakan cukai tanah.

“Penguatkuasaan dan pemantauan juga perlu dilaksanakan kepada pemilik tanah yang mempunyai tunggakan yang tinggi dan tempoh tunggakan yang lama bagi mengelakkan tunggakan cukai tanah semakin meningkat,” kata laporan itu.

— BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini