PM Gesa 3.7 Juta Rakyat Segera Mendaftarkan Diri Sebagai Pemilih

0
31

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama ) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa lebih 3.7 juta rakyat yang masih belum mendaftar sebagai pemilih supaya segera berbuat demikian kerana hala tuju negara terletak di tangan mereka.

“Janganlah bersikap ambil mudah dengan membiarkan orang lain membuat keputusan untuk anda, kerana keputusan tersebut sudah tentu akan memberi impak besar kepada hidup anda dan keluarga,” katanya dalam catatan laman blog najibrazak.com.

Beliau menegaskan bahawa suara mereka penting dalam menentukan masa depan mereka sendiri selain anak cucu dan negara.

Memetik laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Najib berkata lebih 3.7 juta orang berumur 21 tahun dan ke atas masih belum mendaftar sebagai pemilih setakat 31 Mac lalu berbanding 18 juta jumlah keseluruhan rakyat yang layak mendaftar.

Perdana menteri berkata statistik itu merupakan indikator bahawa kesedaran rakyat terhadap hak dan tanggungjawab mereka kepada negara masih rendah.

Najib sekali gus meminta semua agensi berkaitan memperhebat usaha penerangan serta mendaftarkan mereka yang layak mengundi.

“Peratusan pengundi keluar mengundi juga harus ditingkatkan lagi berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 dengan hanya 84.84 peratus atau 11.2 juta pengundi telah keluar mengundi,” kata Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Najib berkata mungkin ada yang menganggap proses mendaftar leceh dan menyusahkan namun pandangan itu amat salah kerana proses pendaftaran hanya mengambil masa kurang daripada lima minit.

“Berbekalkan kad pengenalan, anda hanya perlu ke pejabat pos atau pejabat SPR atau pejabat pilihan raya negeri berdekatan,” katanya.

Mengundi, tegas beliau adalah tanggungjawab setiap rakyat Malaysia yang layak bagi menentukan masa depan mereka, keluarga dan masyarakat.

“Ia merupakan satu proses demokrasi yang mana kuasa diberi kepada rakyat untuk memilih pemimpin dan kerajaan… yang mempunyai visi dan mampu memacu Malaysia ke arah mencapai status negara maju,” kata Najib.

— BERNAMA

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini