Jelajah Kota Bangkok ‘sorang – sorang’

0
39

Saya jarang bercuti, apatah lagi ‘sorang-sorang’. Tapi sejak dua menjak ini, saya semakin berani. Berani menjelajah keluar dari zon selesa.

Yang penting saya selamat mengembara seorang diri ke negara yang cukup asing bagi saya. Dan kota Bangkok yang penuh warna-warni ini berjaya saya jelajahi ‘sorang-sorang’.

Ya, saya seorang wanita yang hebat! 😀

Pengalaman dapat menawan sesuatu tempat sendirian cukup best dan melengkapkan jiwa. Ia bukan saja memuaskan, juga membuka mata saya kepada dunia dan budaya lain dengan cara yang cukup unik. Anda juga dapat belajar untuk mengenali hati budi dan menghormati budaya serta kepercayaan orang lain.

Sumber: Shutterstock.com

Terutamanya menjelajah sebuah bandar yang begitu pesat dan sibuk seperti Bangkok, Thailand. Pengembaraan ini ialah kali kedua bagi saya. Dan jujur saya katakan, ianya sesuatu pencapaian untuk diri sendiri yang anda perlu kecapi, lebih-lebih lagi kalau masih muda dan belum berkahwin. Dah kahwin pun boleh. Mestilah lagi best!

Saya nak berkongsi sedikit sebanyak apa yang saya belajar semasa saya meneroka kota meriah ini. Ia mungkin dapat membantu anda dalam situasi seperti pengalaman saya apabila terjumpa dengan rakyat Thailand yang tidak boleh berbahasa Inggeris atau anda mahu mencuba makanan eksotik tapi takut terkena cirit-birit. 😉

Okay jom baca?

1.  Buat pilihan makanan dengan baik

Di Bangkok, terlalu banyak pilihan yang ditawarkan. Maklumlah Thailand. Ia seperti syurga membeli-belah dan syurga makanan. Penjaja jalanan ada di mana-mana. Memang nampak sedap dan murah tapi hati-hati ketika memilih makanan. Pastikan ia halal dan bersih. Jika anda was-was dengan street food, pilih untuk makan di restoran.

Sumber: Shutterstock.com

2.  Rajin bertanya dan tahu perkembangan semasa

Servis teksi motor atau tuk-tuk sentiasa tersedia. Ia menyenangkan, murah dan laju bak F1 walaupun ketika trafik sesak. Tapi jaga-jaga ya. Pemandu tuk-tuk mensasarkan pelancong, jadi tambangnya mungkin lebih mahal berbanding teksi biasa. Sebelum menaiki tuk-tuk, tanya dulu harga tambang dan ambil tahu harga standard bagi tuk-tuk.Jika ia lebih mahal dari teksi biasa, mungkin anda sedang cuba ditipu oleh si pemandu. Cepat-cepat menolak!

Sumber: Shutterstock.com

3.  Bijak mengurus masa

Trafik sesak dan Bangkok tidak boleh dipisahkan. Jika anda mahu membeli-belah dan melawat kawasan menarik, saya cadangkan keluar pada awal pagi. Pada sebelah petang, trafik agak kritikal dan boleh melarat sampai ke tengah malam. Dan jika anda mahu ke lapangan terbang lebih baik keluar tiga atau empat jam lebih awal supaya tidak terlepas penerbangan anda. Jangan jadi seperti saya, leka menonton filem sampai terlewat. Aduh, kelam-kabut jadinya, tak berbaloi langsung.

4.  Belajar bahasa negara itu

Belajar bahasa Thailand, walaupun sedikit. Perkataan paling penting ialah arahan perjalanan atau pun untuk bertanyakan sama ada makanan itu halal atau tidak. Kebanyakan rakyat Thailand memang yakin bertutur dalam bahasa Inggeris, tapi kadangkala, jangan terkejut kalau ada yang hanya tahu perkataan ‘Yes’ dan ‘Skytrain’ saja.

5.  Biasakan diri dengan selok-belok jalan

Lebih senang kalau anda ikut nama jalan yang telah ditetapkan.  Selalunya bermula dengan Kluay atau Khlong, dan hafal cara nak menuju ke arah tempat itu. Dengan cara itu, anda boleh kenal pasti arah dan laluan dalam perjalanan menuju ke situ. Jadi kalau anda tersalah jalan, sekurang-kurangnya anda boleh beritahu pemandu untuk mengikut jalan yang betul. Dalam kes saya, saya tidak peka, jadi pemandu teksi turunkan saya di destinasi yang salah. Membazir duit dan saya pula tersesat. Perut lapar pada masa itu, Tuhan saja yang tahu!

Sumber: Shutterstock.com

6.  Pilih teksi untuk keselesaan perjalanan

Kalau tidak pasti dengan tempat yang nak dituju, naik teksi saja. Berkomunikasi dengan pemandu teksi lebih mudah untuk bertanya arah atau alamat destinasi anda dan semestinya lebih selesa. Pemandu tuk-tuk kurang bercakap dan sentiasa mahu bergegas. Lagi pun, teksi tidak mengenakan caj pada tengah-tengah malamTapi pastikan anda pilih teksi yang bermeter. Nanti kena tipu pula.

7.  Kenal pasti lokasi/arah tempat yang ingin dituju

Banyak bangunan atau restoran yang anda nampak, ada nama pelik yang anda fikir boleh diingati sebagai landmark. Anda silap, kerana satu perkara yang anda harus ingat, mungkin ada 45 buah kedai lagi dengan nama yang sama. Bagi BTS Skytrain pula ia mempunyai laluan keluar yang berbeza mengikut destinasi. Bangkok sebuah bandar yang pesat di mana jalan-jalannya mempunyai begitu banyak susur baur. Pastikan anda jumpa jalan keluar yang betul sebelum meninggalkan stesen, kerana anda mungkin akan disaman oleh penguatkuasa Bangkok sehingga 2000 Baht untuk pejalan kaki yang melintas sesuka hati. Nak lebih selamat, ambil gambar peta kawasan yang terdapat di setiap hentian stesen BTS Skytrain. Senang untuk dijadikan sebagai panduan.

8.  Aktifkan transaksi antarabangsa kad ATM anda

Jika anda bercadang untuk membeli-belah, pastikan anda boleh mengeluarkan mata wang asing di mana-mana mesin ATM di Bangkok. Telefon bank anda untuk mengaktifkan transaksi luar negara bagi kad ATM anda sebelum berangkat ke luar negara.

Sumber: Shutterstock.com

9.  Asingkan wang bagi kes-kes kecemasan

Wang untuk perjalanan pulang – sama ada untuk menaiki teksi, bas atau Uber, lebih baik sediakan dan asingkan wang pengangkutan dari awal. Nanti tiba-tiba, ada sahaja perbelanjaan yang anda nak buat di lapangan terbang.

10.  Lihat seni di Bangkok Art & Culture Centre

Bagi saya, Bangkok bukan hanya untuk membeli-belah dan makan. Kalau anda sudah penat tubuh badan dan poket, cuba lihat sesuatu yang tidak merambangkan mata, tapi menyegarkan. Terdapat pelbagai koleksi seni lukis dan kraftangan di Bangkok Art & Cultural Centre (BACC), yang terletak di persimpangan Pathumwan, berhadapan pusat membeli-belah MBK dan Siam Discovery Centre. Naik BTS Skytrain hentian National Stadium untuk ke sana. Barangan seni lukis juga banyak dijual di BACC. Jangan cemburu, saya berjaya membeli art marker yang sangat cantik, cuma 30 Baht sebatang. Yahoo!

Kunjungi laman web BACC di: http://en.bacc.or.th/

Sumber: Shutterstock/cowardlion

11.  Lihat kisah pembunuh bersiri di Muzium Perubatan Siriraj

Jika anda seorang yang meminati kisah-kisah perubatan atau pembunuhan dan tidak mudah gerun, pastinya anda tidak mahu lepaskan peluang melawat Muzium Perubatan Siriraj. Sebelum ini saya tidak pernah lihat tengkorak dan rangka mangsa pembunuhan dan pembunuh bersiri. Di sini semuanya ada. Seram tak seram, anda kena lihat sendiri!

Klik di sini untuk lihat peta lokasi (kalau berani).

Sumber: Shutterstock

Tip-tip yang saya kongsi ini mungkin boleh menjimatkan 1 Ringgit atau 10 Bahtmungkin juga menolong anda memilih destinasi yang seterusnya.

 

Diceritakan oleh  Imara Natchiar di laman blog.traveloka.com

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini