Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Perdebatan terbuka antara para mufti, terutama di media sosial, hanya mengundang pandangan tidak sihat oleh masyarakat, kata Datuk Ibrahim Ali hari ini.

Menurut Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu, situasi tersebut kini dilihat seolah-olah tidak terkawal selain menjejaskan imej Islam sendiri.

“Ia mengelirukan umat Islam sekali gus menimbulkan pandangan negatif daripada bukan Islam.

“Perkara pokok yang sensitif, berkaitan hal-hal yang tidak jelas, termasuklah berkaitan hukum, wajarlah mufti-mufti dan tokoh Islam, termasuk cendekiawan, bertemu dan berbincang atas semangat mesyuarat dan cari titik persefahaman,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Beliau berkata demikian mengulas isu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibinkan kepada bapanya.

Susulan itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam postingnya di Facebook memuji keputusan itu yang menurutnya seiring dengan keputusan fatwa negeri berkenaan.

“Semoga keputusan mahkamah rayuan itu menutup keaiban, memberi peluang insan bertaubat, tidak menghukum anak yang tidak bersalah dan ke arah menghindarkan mentaliti ‘islam agama hukuman’,” katanya.

Menurut Mohd Asri, Jawatankuasa Syariah Negeri Perlis yang dipengerusikannya dalam mesyuarat pada September 2008 telah memutuskan mengenai nasab anak yang tempoh perkahwinan ibubapanya kurang daripada enam bulan.

“Anak yang lahir kurang daripada 6 bulan ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya, kecuali jika dinafikan oleh si suami,” menurut keputusan itu.

Tambahnya, perkara itu turut disahkan Mesyuarat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis yang dipengerusikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajudin Jamalullail pada 4 November 2008.

Bagaimanapun, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pada satu sidang media kemudiannya menyifatkan keputusan Mahkamah Rayuan mengenai pendaftaran anak luar nikah itu sebagai menghalalkan zina.

Ibrahim menegaskan, sebarang isu melibatkan hukum seharusnya dibincangkan secara tertutup dan diselesaikan dalam masa 24 jam.

“Ahli Majlis Fatwa wajar berbincang dengan cepat, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga seharusnya membentuk kerjasama apabila timbul isu seperti ini.

“Elakkan beri pendapat peribadi. Dalam dunia sekarang, media sosial akan menjadikan banyak imej Islam terjejas dengan isu sebegini,” jelasnya.

_Astro Awani

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini