Tunku Tun Aminah pilih baju kurung teluk belanga Pada Istiadat Perkahwinan

0
456

Sebagai puteri tunggal Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Tuanku Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, istiadat perkahwinan Tunku Tun Aminah Maimunah dan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos ini sudah pasti menjadi hari paling gembira buat rakyat Malaysia, khususnya bangsa Johor.

Royal Press Office (RPO) yang merupakan pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor ketika dihubungi sebuah portal pada Rabu bagi mendapatkan perkembangan mengenai persiapan perkahwinan pasangan diraja itu berkata, segala persiapan majlis istiadat pertunangan dan perkahwinan berjalan lancar dan sedang rancak dijalankan.

Ditanya mengenai senarai tetamu-tetamu kehormat yang akan menghadiri istiadat itu, RPO menjelaskan senarai rasmi masih belum dikeluarkan dan ia dijangka dalam masa terdekat.

Terbaharu, ketika ramai sedang menghitung hari menunggu detik bahagia majlis perkahwinan pasangan diraja itu, Tunku Tun Aminah dalam kenyataan media hari ini berkata, ayahandanya mahu perkahwinan beliau berlangsung dengan penuh tradisi dan adat istidat budaya Johor.

Istiadat itu akan dilakukan dengan menampilkan segala keunikan, kekayaan warisan serta tradisi Johor.

“Tuanku Sultan pernah menunjukkan gambar perkahwinan ayahandanya (Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail) dan bondanya (Enche’ Besar Kalsom Abdullah) yang diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi Johor.

“Baginda meminta saya mencontohinya bagi mengekalkan budaya dan tradisi Johor. Jika tidak, baginda khuatir keunikan kami sebagai orang Johor akan hilang dan dilupakan buat selama-lamanya,” kata Tunku Tun Aminah dalam temubual eksklusif bersama RPO di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

RPO memaklumkan istiadat pertunangan Tunku Tun Aminah dan bakal suami akan diadakan pada jam 10 pagi, 14 Ogos ini, di Istana Bukit Serene diikuti istiadat nikah.

Manakala upacara bersanding diadakan pada jam 8 malam, hari sama di Bilik Singgahsana, Istana Besar.

Tunku Tun Aminah, yang dilahirkan pada 8 April 1986, adalah anakanda kedua daripada enam beradik.

Bakal suaminya, atau nama asal Dennis Verbaas dilahirkan pada 1 Mei 1989 di Lisse, sebuah bandar berhampiran Amsterdam, Belanda.

Tunku Tun Aminah mendapat pendidikan asas dan rendah di Hilltop Kindergarten, Sekolah Convent serta Sekolah Seri Utama di sini, sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Australia International School di Singapura seterusnya di La Salle School of Fashion and Design, juga di Singapura.

Berkongsi lebih lanjut, Tunku Tun Aminah berkata, walaupun menerima sebahagian pendidikan barat di sekolah antarabangsa di Singapura – turut belajar di sekolah kebangsaan untuk beberapa tahun dan mempelajari agama Islam di rumah, beliau sungguh bangga untuk mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Teluk Belanga pada hari perkahwinannya.

“Memandangkan ini yang ayahanda dan bonda mahukan, saya tidak mempunyai masalah mengenakan busana tradisional Johor tulen untuk majlis perkahwinan itu nanti,” kata Tunku Tun Aminah.

Sejak berusia setahun, Tunku Tun Aminah sudah mengenakan baju kurung pertama yang diberikan bondanya Permaisuri Johor.

Menarik mengenai rekaan Teluk Belanga adalah ia mula diperkenalkan di akhir kurun ke-19 semasa pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar dan tidak mempunyai kolar serta sulaman di bahagian leher dijahit dengan rekaan yang dikenali sebagai tulang belut.

Sementara, Dennis Muhammad pula akan mengenakan Baju Melayu Teluk Belangga.

“Ayahanda (Sultan Ibrahim) mahu dia (Dennis Muhammad) mengenakan dua kerongsang di songkok seperti mana pernah digunakan nenda (Almarhum Sultan Iskandar) pada perkahwinannya. Kerongsang ini diberikan kepada Almarhum Sultan Iskandar oleh bondanya Almarhumah Sultanah Aminah,” ujar Tunku Tun Aminah, berkongsi persiapan perkahwinan.

Selain alat kebesaran dan tradisi DiRaja, Tunku Tun Aminah berkata perkahwinannya akan berlangsung secara sederhana tetapi meriah bersama keluarga dan sahabat handai.

“Saya mahu ia menjadi satu majlis yang tenang dan meriah… itu yang paling penting. Ia tidak perlu diadakan secara besar-besaran dan penuh kemewahan,” katanya.

Terdahulu, RPO menyiarkan gambar rasmi pertama Tunku Tun Aminah dan Dennis Muhammad dalam pakaian tradisi Melayu dan pakaian kasual di Istana Bukit Serene di Johor Bahru.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini