Kita tak mahu kasut terbang dalam parlimen

0
16

Kuala Lumpur – Semua perbahasan di parlimen perlu berlangsung dengan tenang dan disertai fakta, bukan menempik serta menjerit.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata seseorang anggota parlimen yang berkualiti, mereka mampu menyampaikan hujah dengan baik.

Sebaliknya kata beliau anggota parlimen kurang berkualiti akan gagal berhujah bersandarkan fakta, malah menyampaikan ucapan penuh dengan andaian.

“Justeru (kerana) maklumatnya tidak kemas inilah – bagi menarik perhatian – apabila berhujah di parlimen, cara cakapnya sama seperti orang menjerit dan menempik,” kata beliau hari ini.

Tampa menamakan sesiapa kenyataan Salleh berkata perlakuan yang tidak terkawal itulah yang menyebabkan keadaan dewan menjadi tegang serta kecoh.

Di luar negara kata bekas ketua menteri kesembilan Sabah itu, ketegangan kadang-kadang berakhir dengan tindakan melempar kasut, bergaduh dan bertumbuk.

“Kita tentunya tidak mahu hal sebegini berlaku di dewan kita.

“Oleh itu, apabila berhujah di dewan, tidak perlulah kita terlebih emosi sehingga menjerit dan menempik.

“Kebijaksaaan perlu ada dalam menyampaikan hujah dan pandangan,” katanya.

Cara terbaik kata Salleh ialah dengan menyampaikan pandangan masing-masing dengan tenang supaya perjalanan Dewan Rakyat tidak dilihat seperti pasar ikan.

“Kita berpolitik untuk menggubal, mempertahan dan meminda peraturan-peraturan bagi mengatur kehidupan bernegara.

“Jadi, marilah kita lakukannya secara bersama biar pun mempunyai pandangan berlainan demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini