Rafizi rayu derma orang ramai bayar saman RM300,000 NFC

0
175

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli merayu derma orang ramai bagi mengelakkan dirinya daripada diisytihar muflis berikutan kemungkinan tidak mampu membayar ganti rugi dan kos berkaitan dengan saman fitnah National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).

“Beberapa minggu yang lalu, peguam saya menerima surat tuntutan meminta RM300,000 yang perlu dibayar. Jika tidak, mereka mengancam untuk memulakan prosiding kebankrapan terhadap saya.

“Sebenarnya kes ini sedang melalui rayuan di Mahkamah Rayuan yang telah ditetapkan dalam bulan Oktober 2017.

“Walau bagaimana pun, undang-undang menetapkan saya perlu membayar dahulu kalau pun saya mungkin menang di peringkat rayuan,” katanya dalam satu posting di Facebook semalam.

Saman itu difailkan selepas Rafizi mendakwa pengerusi NFC Datuk Seri Mohd Salleh Ismail membeli lapan hartanah di KL Eco-City dengan dana awam yang diperuntukkan kepada syarikat berkenaan.

Mahkamah Tinggi tahun lalu memutuskan beliau bersalah dan memerintahkan Rafizi membayar RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada NFC. Mereka juga dianugerahkan kos sebanyak RM100,000.

“Masalahnya semua simpanan saya telah pun dibelanjakan untuk memulakan INVOKE agar rakyat ada peluang yang lebih tinggi menewaskan BN dalam PRU akan datang,” katanya.

“Selain dari arahan membayar RM300,000 ini, saya juga dijangka akan dihukum akhir tahun ini atas tuduhan membocorkan maklumat perbankan NFC,” katanya.

Walau bagaimanapun, Rafizi berkata beliau tidak menyesal menjalankan amanah walaupun menerima risiko menjadi muflis akibat saman-saman dan tangkapan.

“Kerja tidak berbayar untuk mendedahkan rasuah ini mendedahkan pula kami kepada pelbagai risiko.

“Risiko terbesar adalah berdepan dengan pelbagai saman dan tindakan undang-undang yang dibawa oleh pelbagai pihak,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini