MBI digesa kemuka bukti bayaran

0
54

Kuala Lumpur – Pegawai khas kepada perdana menteri, Datuk Rizal Mansor menggesa Perbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) mengemukakan bukti proses timbang tara berhubung bayaran kepada bekas kontraktor Universiti Selangor (Unisel), Jana Niaga Sdn bhd.

Katanya, MBI semalam menjelaskan terdapat proses timbang tara untuk menyelesaikan pertikaian antara Unisel dan Jana Niaga berhubung bayaran berkenaan.

“Persoalannya, bilakah proses timbang tara tersebut dilakukan antara Jana Niaga dan Unisel? Siapakah pihak-pihak yang terlibat dalam timbang tara yang dikatakan tersebut? Sila kemukakan dokumen-dokumen berkenaan timbang tara ini,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut Rizal, menerusi laman web Selangor-Leaks, firma Raj, Ong dan Yudistra mendakwa MBI Selangor telah cuba untuk menyelesaikan perkara itu mewakili pihak Unisel.

Bagaimanapun dakwanya, Unisel tidak bersetuju dengan terma-terma yang dicadangkan oleh MBI.

Sehubungan itu beliau berharap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan pihak MBI menjelaskan perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan rakyat Selangor khususnya pelajar-pelajar Unisel.

Semalam, MBI dalam satu kenyataan mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menuduh agensi itu melakukan rasuah berhubung pembayaran kepada Jana Niaga.

Sambil menyangkal dakwaan Rizal Ahad lalu, MBI berkata bayaran kepada Jana Niaga dibuat setelah melalui proses timbang tara antara Unisel dan Jana Niaga.

Menurut MBI, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Disember 2012 dan Mahkamah Rayuan pada Julai 2013 memutuskan bahawa Jana Niaga dan Unisel perlu menyelesaikan pertikaian mengikut proses timbang tara seperti yang diwajibkan di bawah kontrak kedua-dua pihak.

MBI turut menafikan bayaran sebanyak RM60 juta telah dibuat kepada Jana Niaga.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini