Mahathir diktator, dari dahulu hingga sekarang kata penyokong PH

0
357

Kuala Lumpur – Sebuah forum membincangkan sama ada Tun Dr Mahathir Mohamad sesuai memimpin gabungan pembangkang menjadi hangat dengan pelbagai pandangan dilontarkan, termasuk penyokong pembangkang yang membidas pimpinan Pakatan Harapan (PH) kerana mempertahankan bekas perdana menteri itu.

Presiden Amanah Mohamad Sabu, antara yang pernah menjadi tahanan politik di zaman bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata Dr Mahathir yang dianggap diktator dulu kini mengalami perubahan sikap apabila menyertai PH.

Malah Mat Sabu berkata pemimpin PKR, DAP dan Amanah yang menjadi “diktator” kepada pengerusi PPBM itu dalam menentukan sebarang keputusan ketika bermesyuarat.

“Saya yakin bahawa Tun Mahathir seorang, kami (pemimpin Amanah, PKR dan DAP) yang mengepung beliau dalam mesyuarat Pakatan Harapan, beliau tidak boleh menjadi diktator lagi, sudah 6 kali mesyuarat Pakatan Harapan dia tidak diktator,” katanya pada forum bertajuk “Mahathir Agen Perubahan atau Agen Pemusnah” anjuran Kelab Bangsar Utama, khusus bagi membincangkan perdana menteri paling lama memerintah itu.

Turut menjadi ahli panel dalam forum dihadiri lebih 100 orang itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput dari PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, serta aktivis Hishamuddin Rais dan Haris Ibrahim.

Mat Sabu percaya Dr Mahathir berubah, memberikan contoh persetujuan beliau dengan beberapa tuntutan PH.

“Kami yang menjadi diktator kepada Tun Mahathir. Di antaranya, beliau setuju selepas Pakatan Harapan ambil alih pemerintahan, langkah pertama membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha mendapatkan pengampunan diraja, kemudian untuk hapuskan GST,” kata Mohamad yang terkenal dengan panggilan Mat Sabu.

“Ini bukan senang beliau nak setuju, sama ada beliau berlakon atau tidak, yang penting beliau setuju dengan keputusan kita.”

Mat Sabu berkata pemimpin, Amanah, PKR dan DAP menerima Dr Mahathir dan sanggup melupakan permusuhan lampau demi menyelamatkan Malaysia daripada pemerintahan semasa Barisan Nasional (BN).

Lihat pada zahir

Pada forum itu, beberapa soalan peserta mendesak parti pembangkang yang kini bersatu dalam Pakatan Harapan tidak terlalu menjadi “pak turut” kepada Dr Mahathir.

Mat Sabu berkata isu utama ialah mejatuhkan Najib dan kerajaan BN, bukan mengungkit kembali kisah silam yang menurutnya tidak membantu menyelamatkan negara.

“Perubahan seseorang itu perlu dilihat pada fizikalnya, bukan pada hati. Sebab dalam hati kita tidak tahu.”

Mat Sabu berkata Dr Mahathir seorang yang sudah pencen dan tanpa kuasa, berlainan dengan Datuk Seri Najib Razak.

“Kita maki Mahathir 24 jam pun dia tidak boleh tangkap kita. Kalau maki Najib dan pemerintah sekarang, dia ada kuasa dan boleh ambil tindakan kepada kita. Sebab itu kalau nak uji iman kita, kita kena lawan pemerintah, sama juga dengan kami bila kami (PH) jadi pemerintah, kalau kami tidak betul, lawan kami,” katanya.

Bangang’ bercakar soal calon PM

Sementara itu, menyentuh calon perdana menteri pembangkang, Hishamuddin berkata ia tidak timbul kerana yakin PH tidak akan memenangi pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak percaya bahawa Pakatan Harapan akan menang dalam pilihan raya nanti. Najib akan menang, jadi jangan bangkitkan persoalan bangang siapa yang jadi perdana menteri dari Pakatan Harapan.

“Dalam negara dunia ketiga, tidak akan berlaku peralihan kuasa melalui pilihan raya,” katanya.

Hishamuddin sebaliknya berkata jalan terbaik menjatuhkan Najib dan kerajaan BN ialah melalui revolusi secara besar-besaran dengan menggabungkan seluruh pimpinan parti pembangkang.

Menurutnya, penyertaan bekas pemimpin kerajaan adalah perlu bagi melahirkan “gerakan massa untuk menjatuhkan Najib”.

Pada forum itu, ramai penyokong pembangkang yang hadir dilihat tidak setuju dengan pandangan yang mempertahankan Dr Mahathir.

Mereka rata-rata merujuk kembali peranan Dr Mahathir dalam melawan gerakan reformasi pada lewat 1990-an.

“Mahathir dulu diktator sampai sekarang. Pakatan Harapan tidak memerlukan diktator seperti Mahathir mengetuainya. Kami generasi Y kami tidak mahu Mahathir,” kata seorang peserta.

Menurutnya, selama ini pembangkang “menghasut” orang ramai membenci Dr Mahathir.

“Tapi sekarang kita disuruh percaya kepada Mahathir. Ini semua mengarut. Kami dah penat nak dengar ceramah badut-badut ini.”

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini