Jangan dengar nasihat pendakwah anti-vaksin, kata mufti

0
31

Kuala Lumpur – Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria menggesa umat Islam mengabaikan pendakwah yang mendakwa suntikan vaksin dicemari “najis”.

Beliau memberitahu FMT ibu bapa mempunyai tanggungjawab agama mendapatkan suntikan vaksin untuk anak mereka, walaupun ia dicemari “najis” seperti didakwa beberapa pendakwah.

“Orang ramai perlu mendengar keputusan pihak berkuasa agama. Kita sudah mengeluarkan arahan dan fatwa boleh mengambil vaksin. Walaupun ada najis, umat Islam boleh mengambilnya. Diharuskan.”

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai mengabaikan maklumat diragui yang dikongsi di media sosial mengenai imunisasi.

Ibu bapa, katanya, perlu memastikan anak mereka mendapat suntikan diperlukan untuk mencegah dijangkiti penyakit seperti batuk kering, demam campak dan difteria.

April tahun lalu, Harussani dilaporkan berkata, ibu bapa yang enggan memberi suntikan vaksin kepada anak mereka dianggap berdosa kerana melanggar perintah Tuhan.

Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan berkata, kebanyakan ibu bapa yang menolak imunisasi untuk anak mereka, tahun lalu, datang dari Perak, Terengganu dan Pahang.

“Mereka tidak pasti sama ada vaksin itu halal atau haram,” kata Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga di Kementerian Kesihatan, Rozita Rahma.

“Selain mempersoalkan terdapat DNA babi dalam vaksin, mereka juga takut ia mengandungi bahan kimia terlarang seperti merkuri.”

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati Perak mendahului senarai itu dengan 285 bantahan, diikuti Terengganu (233), Pahang (178), Kedah (172) dan Selangor (151).

Bantahan itu dibuat atas alasan agama atau bimbang risiko autisme.

Antara kebimbangan itu berpunca daripada maklumat disebarkan kumpulan berkaitan gerakan anti-vaksin di internet yang sering dirujuk sebagai anti-vaxxers.

Sepanjang 6 bulan pertama tahun ini, lebih 800 kes ibu bapa menolak suntikan vaksin untuk anak mereka direkodkan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Seri Tamyes Abdul Wahid menggesa Kementerian Kesihatan mendidik orang ramai mengenai kandungan vaksin untuk membendung ketakutan tidak munasabah.

“Kementerian perlu menerangkan kandungan vaksin itu kepada orang ramai dan akibat enggan memberi imunisasi kepada anak mereka,” katanya yang berpendirian umat Islam boleh menerima atau menolak pemvaksinan.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini