Islam tidak lagi progresif, ketinggalan zaman kata Asiah

0
1028

Oleh: Zulkifli Mat Rawi

Kuala Lumpur – Aktivis hak asasi wanita, Asiah Abd Jalil mendakwa agama Islam telah gagal berevolusi sesuai dengan peredaran zaman terutama dalam isu berkaitan wanita.

Dia melalui catatan di laman Facebook pada Isnin berkata, walaupun Islam merupakan agama yang paling cepat berkembang di dunia namun golongan ulamanya masih ketinggalan zaman kerana sering membicarakan isu-isu yang bersifat remeh.

“Ketika Islam datang, Islamlah agama yang paling mengangkat darjat dan membela wanita pada zaman itu. Anehnya setelah beberapa ratus tahun, ajaran Islam berkaitan wanita gagal berevolusi seiring dengan zaman. Islam sudah tidak lagi progresif, sebaliknya ketinggalan zaman.

“Sebab tu ketika wanita seluruh dunia sudah pegang jawatan tertinggi dalam organisasi dan negara, ulama’ Islam masih kalut membicarakan hukum wanita keluar rumah tanpa izin suami,” katanya memetik catatan tersebut.

Tidak cukup dengan itu dia turut menyindir golongan agama yang dikatakan masih terbelenggu dalam membicarakan tentang hukum berbanding orang bukan muslim yang semakin jauh meninggal Islam dalam mencipta pelbagai kejayaan.

“Sangat takjub melihat gambar ultrasound 4D, anggota baby kelihatan sangat jelas. Hinggakan boleh dibilang lima jari baby satu persatu (namun) pak lebai masih terkial-kial berbahas, adakah gambar ultrasound dan X-ray itu hukumnya aurat.

“Sementara itu orang kafir terus jauh ke hadapan, mencipta teknologi moden yang melangkaui fikiran,” ujarnya lagi.

Walaupun sering dibidas berhubung pandangan yang dikeluarkan, namun ia tidak pernah menghalangnya untuk terus mengkritik dan mempertikaikan mengenai hukum Islam.

Malah Asiah turut mendakwa pernah menerima ugutan bunuh oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.

“Dulu saya juga pernah terima ugutan bunuh. Lepas disiasat, rupanya si pengugut pernah ditahan di bawah SOSMA kerana mempromosi jihad. Kemudiannya dia dirawat di wad psikiatrik kerana alami halusinasi berkaitan Imam Mahdi.

“Ironi. Agama boleh menjadikan manusia tidak waras, berjiwa kejam dan hilang pedoman,” ujarnya lagi. – MassaTV

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini