Gaji pekerja asing cecah RM150 sehari

0
35

Kuala Lumpur – Bayaran untuk pekerja asing sah kini melambung sehingga 3 kali ganda akibat kekurangan pekerja yang berpunca daripada operasi besar-besaran menahan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Presiden Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong yang dipetik Kwong Wah Daily berkata, majikan yang kekurangan pekerja terpaksa mengambil pekerja asing sah daripada ejen atau syarikat penyumberan luar yang mengenakan bayaran RM100 atau RM150 sehari berbanding RM50 dahulu.

Beliau berkata, ejen atau syarikat penyumberan luar itu akan membekalkan pekerja asing kepada syarikat yang menawarkan bayaran lebih tinggi.

“Kebelakangan ini, ada peladang mengadu tiada pekerja potong kelapa sawit, kontraktor juga mengeluh PATI melarikan diri dan bayaran pekerja asing sah pula meningkat.

“Disebabkan pekerja berkurangan dan menyiapkan projek, jadi mereka terpaksa membayar gaji lebih tinggi dan kerja lebih masa atau tiada orang yang bekerja.

“Seorang pengusaha kedai kopi juga perlu menghentikan operasi seminggu kerana tiada tenaga kerja, selepas pekerja asingnya melarikan diri,” katanya kepada akhbar itu.

Kang berkata, sejak serbuan ke atas PATI, sektor pembinaan paling terjejas kerana mempunyai PATI teramai yang dianggarkan 600,000 hingga 700,000 orang, disusuli sektor perladangan dan pertanian.

Beliau berkata, masih ada ramai PATI di negara ini yang melarikan diri kerana bimbang ditahan pihak berkuasa disebabkan tiada kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) dan tidak memenuhi syarat pengambilan semula.

“Saya pernah kemuka beberapa cadangan kepada cadangan, tetapi ditolak. Contohnya kerajaan menetapkan PATI yang datang ke Malaysia sebelum 31 Mac 2016 boleh memohon E-Kad, tetapi saya cadangkan had itu ditukar kepada sebelum 31 Disember 2016.”

Katanya, RM600 yang perlu dibayar majikan kepada ejen dilantik kerajaan untuk kos pengambilan semula ialah satu daripada punca majikan tidak mendaftarkan PATI kerana bimbang permohonan tidak diluluskan dan mereka kehilangan wang itu.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia, Tan Sri Azman Shah Haron berkata, majikan perlu mempunyai sensitiviti kerana masalah PATI berkaitan keselamatan negara dan kerajaan sudah memberi tempoh 6 bulan untuk memohon E-Kad.

“Kami sudah memaklumkan majikan dan pekerja asing. Jadi, mereka mesti tahu langkah yang diperkenalkan kerajaan ini. Jika mereka tidak mematuhinya, boleh salahkan siapa?”

Beliau berkata, ekonomi negara mungkin terjejas dalam jangka pendek, tetapi majikan tidak boleh menyalahkan kerajaan semata-mata kerana mereka mempunyai tanggungjawab menguruskan pekerja sendiri.

Katanya, majikan tidak patut berputus asa sebelum cuba memohon E-Kad untuk PATI, walaupun bimbang akan kehilangan kos pengambilan semula sebanyak RM600.

“Sebenarnya, sehingga kini saya tidak dengar ada majikan kehilangan kos pengambilan semula. Mereka yang langgar undang-undang akan dikenakan tindakan.

“Bukan sahaja Malaysia, di Singapura pun sama, warga asing yang tidak mempunyai dokumen atau kad pengenalan akan berdepan tindakan.”

E-Kad merupakan pengesahan sementara pengambilan pekerja asing yang menggantikan dokumen perjalanan sah dari negara masing-masing.

Tarikh akhir bagi permohonan E-Kad ialah 30 Jun lalu.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini