8 syarikat berminat jadi pemaju induk Bandar Malaysia

0
10

Kuala Lumpur – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, 8 syarikat berminat menjadi pemaju induk bagi projek Bandar Malaysia bernilai RM12.35 bilion.

Beliau yang dipetik akhbar The Edge Markets berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah yang dilantik menerajui TRX City dan Bandar Malaysia Sdn Bhd pada 17 Mei lalu.

“Menjelang akhir bulan ini atau awal bulan depan, mereka akan duduk dan menelitinya.

“Lembaga 1MDB akan mengkaji cadangan itu dan kami serahkan kepada mereka (untuk membuat keputusan),” katanya kepada akhbar itu di luar acara Invest Malaysia 2017, semalam.

Awal bulan ini, proses permintaan untuk cadangan (RFP) bagi memilih pemaju utama projek itu dibuka, selepas TRX City Sdn Bhd menamatkan perjanjian jualan 60% saham dalam Bandar Malaysia kepada konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corp (CREC), Mei lalu.

TRX City mendakwa perjanjian jualan saham yang dimeterai dengan IWH-CREC pada 2015 sudah luput dan terbatal kerana “gagal memenuhi obligasi pembayaran”, tetapi konsortium itu mempertikaikan tuduhan berkenaan.

Susulan itu, Irwan pada minggu lalu berkata, tarikh tutup bidaan projek Bandar Malaysia ialah 20 Julai.

Beliau berkata, Putrajaya sedang mengintai syarikat gergasi dalam senarai Fortune 500 untuk menerajui pembangunan projek Bandar Malaysia.

Bagaimanapun, minggu lalu, IWH-CREC dilaporkan berpeluang menyertai semula projek Bandar Malaysia selepas pengawal selia China mengarahkan bank besar di negara itu menyekat pinjaman kepada Dalian Wanda Group, yang didekati Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu menyelamatkan projek tersebut.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini