MIC tawar RM18 juta biasiswa untuk pelajar India

0
21

Kuala Lumpur – Program Biasiswa Presiden MIC menawarkan biasiswa berjumlah RM18 juta kepada 900 penuntut India yang layak daripada keluarga berpendapatan Bawah 40 (B40) bagi melanjutkan pengajian dalam bidang akademik dan kemahiran.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata inisiatif itu dilaksanakan oleh Biro Pendidikan MIC dengan kerjasama 18 institusi pengajian tinggi swasta terkemuka di negara ini.

Beliau berkata biasiswa itu boleh dimohon oleh mereka yang ingin mengikuti pengajian di peringkat Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan dibahagikan kepada 2 kategori iaitu biasiswa penuh dan separa biasiswa.

“Ini adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan India Malaysia untuk mentransformasikan komuniti India di negara ini bagi memastikan mereka berpeluang melanjutkan pengajian tinggi.

“Kami mahu memberi peluang kepada mereka yang berkelayakan untuk meneruskan pengajian mereka tetapi tidak mempunyai kewangan untuk berbuat demikian,” katanya ketika melancarkan program biasiswa itu semalam.

Antara institusi pengajian tinggi yang terlibat dalam program itu ialah Kolej Brickfields Asia, UCSI University dan Limkokwing University of Creative Technology.

Ketika ditanya tentang wabak rabies atau penyakit anjing gila, Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata beliau tidak pasti bila wabak itu dapat dibendung kerana pergerakan anjing adalah di luar kawalan kementerian.

“Kami tidak dapat mengawal pergerakan anjing, ia mungkin bebas ke kawasan yang tidak terlibat dan menyebarkannya di sana.

“Apa yang pasti, Jabatan Perkhidmatan Veterinar berusaha gigih untuk memberi vaksin kepada haiwan di kawasan terbabit. Semoga kempen intensif kami dapat membendung wabak ini,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini