Jangan lupa doakan Malaysia kata PM pada jemaah haji

0
62

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta jemaah haji yang bakal ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji tahun ini agar mendoakan Malaysia terus aman dan meraih lebih banyak lagi kejayaan di persada dunia.

“Lakukan ibadah haji sebanyak mana dan yang terdaya. Jangan lupa berdoa demi negara Malaysia kita tercinta. Berdoalah semoga Allah sentiasa memberi rahmat kepada negara kita agar menjadi sebuah negara yang aman, berjaya, yang akan terus disanjung tinggi oleh semua pihak.

“Semoga yang pergi haji ini akan mendapat haji yang mabrur. Selamat berlepas dan selamat kembali. Moga dapat lakukan ibadah haji dengan aman dan tenang,” katanya ketika berucap sebelum melepaskan kumpulan kedua jemaah haji Malaysia di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya hari ini.

Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Arab Saudi di Malaysia Mahmoud Hussen Qattan.

Kumpulan ke-2 jemaah haji itu membabitkan 420 orang berlepas 9.30 malam ini manakala lebih 400 orang daripada kumpulan pertama jemaah haji berlepas kira-kira 6.00 pagi tadi.

Pada musim haji tahun ini, sejumlah 112 penerbangan disediakan untuk membawa 30,200 jemaah haji ke Tanah Suci menerusi penerbangan Malaysia Airlines Berhad dan FLYNAS, dengan penerbangan terakhir dijadual 26 Ogos ini.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini