Gerakan saman Guan Eng berhubung penjualan tanah Tanjong Pinang

0
22

Georgetown – Parti Gerakan hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung penjualan tanah Tanjong Pinang semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Baljit Singh.

Dalam penyataan tuntutannya, Liang mendakwa Lim membuat kenyataan fitnah berhubung penjualan tanah Tanjong Pinang yang dikatakan dijual pada harga RM1 sekaki persegi semasa pentadbiran BN di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Liang ketika ditemui selepas memfailkan saman itu berkata pihaknya memfailkan saman itu kerana sudah tidak mampu bertahan dengan Lim yang berterusan mengeluarkan kenyataan berhubung penjualan tanah itu.

“Sebenarnya Gerakan dah banyak kali buat penjelasan (berhubung penjualan tanah) dan menjelaskan kepada rakyat bahawa tidak benar sama sekali Gerakan menjual tanah dengan harga RM1 sekaki persegi.

“Tetapi beliau (Lim) berulang kali mengulangi kenyataan yang sama dan ia satu fitnah terhadap Gerakan, maka hari ini kami mengambil tindakan undang-undang terhadapnya,” katanya.

Ditanya mengapa Koh tidak memfailkan saman itu, Liang berkata bekas ketua menteri itu sudah bersara dan kenyataan fitnah itu ditujukan kepada parti Gerakan dan bukannya kepada individu.

Peguam Datuk Baljit Singh yang turut hadir berkata Koh akan dipanggil sebagai saksi.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini