‘Fatwa’ haramkan ucapan perayaan kepada ‘non muslim’, tidak boleh diterima

0
813

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong semalam memberi amaran terhadap amalan yang lahir daripada pengalaman di negara lain dan tafsiran Islam yang ekstrem, dengan berkata ia akan hanya menggalakkan pandangan buruk masyarakat terhadap Islam.

Laman berita Singapura Berita Mediacorp memetik Lee yang memberi contoh amalan seperti melarang bersalaman antara Muslim dan bukan Muslim, serta mengharamkan ucapan perayaan kepada bukan Islam seperti Krismas dan Deepavali.

“Jika ia menyusup masuk ke Singapura, ia akan melemahkan keharmonian kaum kita dan membuatkan kita mudah terjejas oleh ancaman pengganasan. Ia juga akan menggalak Islamofobia dan ia tidak boleh diterima,” katanya dipetik laporan itu.

Beliau berkata masalah di negara Islam lain seperti Syria dan Iraq “bukanlah masalah kita di Singapura”.

Lee berkata disebabkan konflik di Timur Tengah dan dakyah IS, pihak berkuasa negara itu berdepan dengan penyebaran radikalisme di kalangan umat Islam tempatan.

“Kami menahan seorang (yang menjadi radikal) setiap sebulan atau dua bulan,” katanya.

Bulan lalu, Singapura menahan Syaikhah Izzah Zahrah Al-Ansari, gadis berumur 22 tahun yang dipercayai bercadang untuk ke Syria bagi menyertai IS.

Lee berkata ajaran dan tafsiran Islam yang radikal bukan sahaja tidak bertolak ansur terhadap bukan Islam, tetapi juga terhadap orang Islam.

Menurutnya, sebarang serangan keganasan oleh militan tempatan akan membawa kesan lebih buruk.

“Jika serangan pengganasan di Singapura dilancarkan sendiri oleh rakyat negara ini kesan psikologinya lebih buruk.”

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini