Shahrir mahu Felda ditadbir dengan integriti tinggi

0
27

Kuala Lumpur – Susulan krisis pengurusan yang melanda Felda dan agensi pelaburannya Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini berikrar akan memastikan perjalanan dan pentadbiran agensi itu sentiasa berada pada integriti yang tinggi.

Beliau yang menjadi Pengerusi Felda sejak Januari lalu berkata, pengurusan Felda juga akan dipastikan sentiasa fokus dari segi tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan ke arah kelangsungan institusi dan kemajuan warga peneroka secara keseluruhan.

Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 2 individu disyaki terbabit dalam penilaian harta dan harga berhubung pembelian sebuah hotel 4 bintang di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Hasil siasatan mendapati, mereka disyaki memanupulasi harga hotel itu sehingga menyebabkan FIC perlu membayar lebih puluhan juta ringgit.

Setakat ini, SPRM sudah merakam keterangan lebih daripada 10 saksi. Pada 17 Julai lalu, SPRM mengambil 3 kotak dokumen dari pejabat FIC berhubung pembelian hotel di London itu.

Dalam pada itu, FGV yang berhadapan dengan kemelut dan berdepan pelbagai tuduhan salah laku dan siasatan yang turut melibatkan SPRM menyaksikan perubahan kepimpinan di peringkat pengerusi dan ketua pegawai eksekutif.

Shahrir yang merupakan bekas setiausaha politik kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein yang mengasaskan Felda berkata: “Saya ingin bawa semula aspirasi dan nilai asal bagaimana Felda diuruskan dalam pentadbiran hari ini agar integriti dan fokus pada tanggungjawab menjadi amalan yang akan membawa organisasi ke tahap lebih tinggi.”

Dipetik Bernama, beliau berkata demikian semasa berucap pada perasmian sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Putrajaya hari ini. Ia dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrir menggariskan asas atau nilai asal yang akan diterap adalah memperkukuh aspek kemuafakatan dalam kalangan pentadbir dan peneroka yang menjadi elemen penting kejayaan Felda sehingga kini.

Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, asas tersebut telah membawa kepada reformasi tanah sehingga berjaya mengeluarkan majoriti masyarakat daripada belenggu dan kepompong kemiskinan.

Menurutnya, nilai yang dipraktikkan itu juga telah membawa pembangunan negara secara seimbang antara bandar dan luar bandar, sepertimana konsep pembangunan wilayah yang diterajui Felda.

“Untuk itu, semua daripada kita perlu terlibat menjayakan misi ini agar matlamat menyumbang kepada kekuatan ekonomi warga Felda dan negara dapat dicapai,” katanya.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini