Selangor ‘johan’ kes denggi, kencing tikus kata Noh

0
139

Semenyih – Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar semalam menyelar kerajaan Selangor di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang hanya pandai berpolitik namun gagal menyelesaikan isu kesihatan yang membelenggu rakyat.

Beliau berkata Selangor merupakan ‘juara’ kes denggi apabila mencatatkan kes tertinggi selama enam tahun berturut-turut selain turut merekodkan kes kencing tikus yang tinggi.

“Di peringkat negeri katanya rakyat pentingkan isu kesihatan, dia (Mohamed Azmin) kata dia lancar kad peduli kesihatan, tetapi dari segi keseluruhan Selangor mencatatkan dua rekod iaitu denggi paling tinggi dalam negara hingga ada kematian dan penyakit kencing tikus, ini juga (Selangor) ‘johan’,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor yang hanya menghantar pegawai biasa ke mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan.

“Negeri lain hantar ketua menteri, menteri besar sendiri datang macam Kelantan dan Pulau Pinang hantar exco, tetapi Selangor hantar pegawai biasa. Jadi di mana yang menunjukkan mereka serius untuk membantu rakyat,” kata Noh.

Katanya beliau turut dituduh menimbulkan kontroversi apabila menyentuh isu kemiskinan bandar.

“Begitulah dia angan-angan terlalu tinggi, macam kisah Mat Jenin sebab itu saya panggil dia ‘Mat Nin’. Bila kita mahu bantu dia tunjuk ego,” kata Noh.

Terdahulu beliau menghadiri perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Hulu Langat yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. — Bernama

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini