Projek MRT dibiaya kerajaan tanpa konsesi jimat RM2 bilion

0
13

Kuala Lumpur – Ketelusan, urus tadbir yang baik serta integriti tidak sesekali dikompromi dalam pelaksanaan projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK), kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana menteri berkata, bagi memastikan projek berkenaan mempunyai tahap ketelusan dan integriti baik, wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menjadi anggota exco projek MRT.

“Struktur yang baik dari segi urus tadbir atau governance, pembiayaan, sistem tender telus mahupun implementasi, dengan nyata menjadi faktor yang membawa kejayaan kepada projek MRT,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mengenai impak sistem pengangkutan MRT yang dibangunkan tanpa melibatkan sebarang perjanjian konsesi serta kejayaan menyiapkan projek itu dengan kos lebih rendah berbanding sasaran awal.

Najib berkata, projek MRT SBK dapat disiapkan menepati jadual, dengan penjimatan sebanyak RM2 bilion daripada kos pembinaan projek, adalah contoh terbaik atau “success story” untuk projek dibiayai secara langsung oleh kerajaan dan bukan menggunakan konsesi.

Najib berkata, ada banyak kelebihan apabila kerajaan membangunkan sesuatu projek infrastruktur, terutama projek pengangkutan awam dengan menggunakan modul pembiayaan langsung, antaranya dapat mengawal dan mengawasi projek dengan lebih ketat dan rapi menggunakan struktur baik.

Katanya, bagi struktur urus tadbir projek MRT, terdapat Jawatankuasa Eksekutif atau Exco Projek MRT yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan dianggotai agensi kerajaan terlibat dalam pembangunan projek MRT.

Menerusi exco itu, Najib berkata, perkara berkaitan peruntukan atau kekangan yang menghalang kemajuan projek dapat diputuskan dan diselesaikan segera.

“Amalan ini akan diguna pakai dalam pelaksanaan projek-projek kerajaan lain bagi memastikan implementasi cekap bersandarkan ketelusan dan integriti dengan birokrasi minima,” katanya.

Beliau berkata, struktur implementasi projek yang diguna pakai untuk projek MRT SBK, iaitu dengan pelantikan Rakan Pelaksana Projek atau Project Delivery Partner (PDP) turut menjadi faktor kejayaan projek berkenaan.

Menjawab soalan tambahan Dr Ong Kian Ming (DAP-Serdang), yang mahu kerajaan menjelaskan kos keseluruhan projek MRT, termasuk perbelanjaan tambahan dibayar kepada PDP dan kos pengambilan tanah, perdana menteri berkata, beliau akan meminta MRT menjelaskan hal itu untuk pengetahuan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, segala pembiayaan projek MRT SBK melibatkan kos munasabah dan dilaksanakan mengikut kaedah telus.

Menjawab soalan Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) berhubung dakwaan sesetengah pihak yang projek itu satu pembaziran, Najib berkata, ia sekadar pendapat politik mereka.

“Tapi, hakikat di hati rakyat dan di sisi rakyat, projek ini memang memberi manfaat besar.”

Katanya, sepanjang proses memastikan projek MRT disiapkan mengikut jadual, MRT Corp tidak pernah mengabaikan kesulitan dan ketidakselesaan mana-mana pihak yang terkesan sepanjang jajaran projek itu.

Perdana menteri berkata, beberapa kemudahan dan infrastruktur turut ditambah baik, termasuk jalan utama di Kajang seperti Jalan Cheras dan Jalan Reko dengan penambahan daripada 2 lorong kepada 4 lorong dan penurapan semua jalan bagi keselesaan pengguna jalan raya.

Katanya, pembinaan hentian bas perantara dan teksi turut diberi perhatian untuk keselesaan pengguna.

Najib berkata, rakyat di Lembah Klang yang tidak mempunyai jajaran laluan MRT di kawasan mereka perlu memanfaatkan penggunaan perkhidmatan kira-kira 300 bas perantara yang disediakan, selain meletakkan kenderaan di Park n Ride.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini