Penjawat awam lapor rasuah boleh naik pangkat

0
22

Kota Bharu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan merancang mewujudkan anugerah piala pusingan kepada agensi kerajaan di negeri ini yang paling banyak melaporkan kes rasuah.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof berkata, penjawat awam yang berani melaporkan kes rasuah juga akan diberikan penghargaan, termasuk kenaikan pangkat daripada jabatan masing-masing.

“SPRM Kelantan akan bekerjasama dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan untuk mengadakan piala pusingan tersebut serta bentuk penghargaan lain,” katanya pada majlis lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh 500 anggota dan pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini.

Majlis lafaz ikrar serta menandatangani IBR itu diketuai Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad.

Pada majlis itu, Moh Samsudin turut menyampaikan taklimat dengan tagline SPRM Kelantan iaitu “Tok Sey Rasuah, Lapor Rasuah”.

Dalam perkembangan sama, Din ingin melihat impak besar kepada anggota dan pegawainya.

“Saya berharap ikrar yang dilafazkan akan diterjemahkan dalam fakta berbentuk statistik, iaitu tangkap mereka yang ingin memberi rasuah serta melaporkannya.

“Kita akan kekalkan rekod sejak 2 tahun kebelakangan ini, di mana tiada seorang pun anggota kita yang dilaporkan terbabit dalam jenayah jijik ini,” katanya.

Beliau berkata, rasuah adalah jenayah amat jijik dan cukup jijik sekiranya ia membabitkan penguatkuasa undang-undang.

Hari ini, seramai 4,000 anggota dan pegawai polis di seluruh Kelantan membaca lafaz ikrar di ibu pejabat polis daerah masing-masing.

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini