Otai Reformis tolak penyertaan Mahatahir dalam Pakatan Harapan

0
45

Kuala Lumpur – Saari Sungib, yang mengetuai kumpulan aktivis reformasi Otai Reformis mengesahkan sudah melepaskan jawatan sebagai pengerusi kumpulan aktivis 90-an itu, selepas sebahagian ahli kumpulan reformasi 90-an itu membantah pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Pakatan Harapan.

“Ahli-ahli Otai Reformis ada macam-macam sentimen terhadap Dr Mahathir. Ada yang tolak habis dan ada yang masih bertimbang rasa penyertaan Dr Mahathir dalam PH.

“Kita telah adakan mesyuarat semalam dengan Otai Reformis dan hasil keputusan itu saya lepaskan jawatan saya,” katanya.

Menurut Saari, Otai Reformis dalam mesyuarat itu menolak kepimpinan Dr Mahathir di peringkat gabungan pembangkang, atau sebagai menteri atau penasihat kerajaan sekiranya PH mentadbir kerajaan.

“Kita menuntut PH untuk memasukkan dalam manifesto PRU14 PH penubuhan Suruhanjaya Keamanan dan Keadilan bagi mengadili segala tuduhan ke atas Dr Mahathir.

“Kita juga bersetuju agar mana-mana ahli Otai Reformis yang mempunyai jawatan dalam mana-mana parti PH untuk melepaskan jawatan yang disandang dalam gerakan Otai Reformis,” katanya.

Dalam pada itu, Saari berkata selain beliau, setiausaha kumpulan Abdul Razak Ismail turut meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan penyertaan Dr Mahathir dalam PH.

Katanya, Abdul Razak akan menyertai Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk menentang PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sementara itu, Saari mengakui mempunyai pandangan tersendiri terhadap Dr Mahathir, namun akan akur dengan keputusan parti untuk bersama PH.

“Saya akan bersama PH…kita tahu hujah-hujah yang diterangkan parti saya untuk bersama Dr Mahathir dalam PH,” katanya.

Semalam, Saari berkata kepada FMT berkata bekas perdana menteri itu akan menjadi pemain peranan utama dalam perbincangan dan membuat keputusan dalam gabungan pembangkang.

Menurut Saari, kerjasama PH dengan Dr Mahathir adalah perlu untuk melawan “kejahatan lebih besar” pentadbiran Najib.

“Kami masih berpegang pada pendirian kami, Mahathir telah melanggar hak asasi dengan menangkap orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menyalahgunakan kuasanya dan bertanggungjawab terhadap salah urus kewangan.

“Dan beliau masih belum bertaubat atau mengakui bahawa beliau telah melakukan salah laku. Tetapi kita menghadapi ancaman besar sekarang, di bawah kerajaan sekarang.”

Peningkatan Dr Mahathir di PH menghakis sokongan asal dalam gabungan itu, terutamanya aktivis reformasi.

Akhbar The Star baru-baru ini melaporkan penyokong-penyokong tegar Anwar merasa mereka dikhianati dan Setiausaha Otai Reformasi Razak Ismail mengancam untuk meletakkan jawatan dan menyertai Parti Sosialis Malaysia (PSM).

MENINGGALKAN SUATU KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda disini